Malaysia Dateline

Anwar anggap tiada perubahan, tindakan kerajaan tangani pengangguran era pandemik

Kerajaan perlu menumpukan usaha menyelesaikan masalah pengangguran dalam negara berikutan laporan terbaharu Jabatan Perangkaan yang merekodkan hampir 730,000 rakyat Malaysia menganggur pada akhir tahun lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, soal derita rakyat termasuk pengangguran dan kemiskinan di bandar-bandar akibat pemberhentian kerja, seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan.

Menurutnya, sehingga hari ini tiada satu kesan perubahan dan tindakan nyata daripada kerajaan berhubung permasalahan tersebut.

“Miskin ini orang bicara sebagai satu slogan tetapi tidak ada kesungguhan melaksanakan. Ini apa yang dikatakan ‘cakap politik’ yang jelas.

“Saya rasa laporan ini memang menunjukkan kelemahan besar sistem kita.

“Bukan hanya kerajaan tetapi semua badan politik harus ingat bahawa kadang-kadang retorik kita sering tertumpu tentang isu demokrasi atau kelemahan institusi, sehingga kurang fokus tentang kemiskinan dan masalah kesenjangan yang kian merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan kerjanya di pejabat daerah Port Dickson.

Dalam pada itu Anwar berkata, angka 730,000 itu bukan sahaja memberi kesan kepada individu tersebut, bahkan jika mereka mempunyai keluarga, ia akan menyebabkan ratusan ribu keluarga yang terjejas.