Anwar angkat sumpah selaku Anggota Dewan Rakyat

Anwar angkat sumpah selaku Anggota Dewan Rakyat

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Upacara itu diadakan pada kira-kira 10 pagi sejurus Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke-14 mula bersidang.

Ini susulan kemenangan Anwar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu lalu dengan majoriti besar 23,560 undi.

Mohamad Ariff ketika mengalu-alukan anggota Parlimen terbaharu itu mengucapkan tahniah kepada Anwar atas kemenangannya di PRK Port Dickson.

“Sebagaimana yang saya ungkapkan pada hari pertama Dewan Rakyat sebelum ini, dewan ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Dewan ini mempunyai wibawanya yang sendiri, justeru peranan Parlimen ini perlu dihayati sebaiknya,” kata Mohamad Ariff yang yakin Anwar mampu melaksanakan tugas dengan sebaiknya serta memberi sumbangan berfaedah kepada negara, tambahnya mengenai ketua umum PKR itu.

Pada PRK tujuh penjuru itu, Anwar, 71, mendapat 31,016 undi, menewaskan calon Pas Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon Bebas merangkumi bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82), bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230), Lau Seck Yan (214), Stevie Chan (337) dan Kan Chee Yuen (154).

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Danyal sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.

Kali terakhir Anwar bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan beliau sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun apabila rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015 ditolak.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas PH diberi mandat memerintah susulan PRU14.- Bernama.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0