Anwar bawa beg fail tenunan songket Kelantan bentang Belanjawan 2025, direka anak Pulau Pinang

Oleh WAN SITI AMINAH

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tradisi menggunakan beg fail hasil kreatif kraftangan tempatan untuk membawa dokumen penting Belanjawan 2025.

Beliau tiba di bangunan Parlimen dengan membawa beg hitam bercorak tenunan songket bersulam benang emas itu selain turut memakai baju Melayu berwarna kelabu lengkap bersamping.

Khusus buat mereka yang tertanya-tanya, kerja seni tenunan songket pada beg itu sebenarnya dihasilkan oleh pereka tempatan dikenali sebagai Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan.

Manakala rekaan beg yang turut menerapkan kombinasi sari pada bahagian lapisan dalamnya itu direka oleh Chew Kai Hung iaitu seorang pereka berbakat berasal daripada Pulau Pinang.

Kementerian Kewangan menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, pemilihan beg tenunan songket yang membawa nilai sejarah tinggi itu bersesuaian dengan pentingnya dokumen Belanjawan 2025.

“Tenunan songket membawa nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung dan ia bersesuaian dengan peri (betapa) pentingnya dokumen Belanjawan 2025 ini.

“Selain mengangkat martabat si pemakainya, ia turut melambangkan kedudukan tinggi si pemakainya,” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan dikongsikan di platform Facebook itu.

Sekadar info, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menggunakan beg fail warna hitam bermotifkan corak ‘Arabesque’ untuk membawa dokumen Belanjawan 2024 pada tahun lalu.

Beg itu adalah hasil buatan tangan sepenuhnya oleh pengusaha batik tempatan berasal dari Kelantan, Khairul Aznan manakala beg fail dengan corak tenunan songket Sarawak dipilih untuk membawa dokumen Belanjawan 2023.

Belanjawan 2025 adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, pembentangan kali ini memberikan tumpuan utama kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.

Berikut adalah intipati Belanjawan 2025;

  1. Tumpuan inflasi dan kenaikan gaji penjawat awam.
  2. Semua golongan mendapat manfaat.
  3. Subsidi dan bantuan sosial.
  4. Belanjawan 2025 dijangka bernilai RM403.5 bilion.
  5. Reformasi sistem pencen penjawat awam.

Baca juga: Dari tepi jalan, Amir Raja Lawak kembangkan sayap, kini miliki kedai untuk jual ayam goreng