Malaysia Dateline

Anwar belum dengar satu suara pun minta pendedahan Kertas Pandora disiasat

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoal pendirian pihak-pihak berkaitan susulan pendedahan yang dibuat menerusi Pandora Papers.

Menurutnya, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam ada menyebut bahawa Bank Negara bersedia untuk memberi kerjasama kepada semua agensi penguatkuasa dan badan penyiasatan.

“Tetapi belum ada sebarang kenyataan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) , Polis Diraja Malaysia terutama di bahagian jenayah komersial, dan juga SPRM.

“Daripada 19.9 juta dokumen Kertas Pandora, 119,000 dokumen berkait dengan warganegara Malaysia.
“Sebahagian besar daripada jumlah wang yang disorok dan diambil dari negara ini di pusat-pusat tax haven (pusat kewangan luar pesisir) termasuk di Singapura,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Minggu lalu, pihak International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) dalam pendedahannya telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir, sepanjang 25 tahun lalu.

Antara individu yang dikaitkan menerusi pendedahan itu ialah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli keluarganya serta Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menyatakan rasa aneh apabila tiada mana-mana pihak yang mendesak supaya pendedahan Kertas Pandora itu disiasat.

“Soalnya, mengapa kita tidak bangkitkan hal-hal ini di Parlimen supaya menggesa agensi terlibat menyiasat?SPRM ambillah inisiatif proaktif selain LHDN dan PDRM.

“Saya belum dengar satu suara yang meminta supaya hal ini (pendedahan Kertas Pandora) disiasat.

“Ini aneh. Kalau betul nak perjuangkan nasib rakyat Malaysia, kalau ini kita jaguh orang Melayu, apakah mungkin budaya Melayu itu mengizinkan rompakan kekayaan yang begitu besar?” bidasnya.

Untuk rekod, sebanyak 118 firma luar pesisir, sebahagian besarnya didakwa melibatkan pemilik yang berasal dari Malaysia.

Pada 4 Oktober lalu, Anwar telah menghantar usul untuk membahaskan pendedahan Kertas Pandora itu kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Bagaimanapun, Azhar semalam menolak usul yang Anwar failkan di bawah Peratusan Mesyuarat 91 dan 92, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

Azhar berkata, Anwar sepatutnya menggunakan Peraturan 43 bagi membolehkan Dewan Rakyat membincangkan keputusan yang telah beliau sampaikan pada minggu lepas.

Selain itu, Azhar berkata, sepanjang pengetahuannya, Kertas Pandora bukan mengenai penyembunyian atau pengeluaran wang sehingga berbilion ringgit ke luar negara.

“Saya rasa sepanjang pengetahuan saya, Pandora Papers bukanlah mengenai mengenai penyorokan atau pengeluaran wang berbilion dari negara kita keluar. Tapi pendedahan pemegangan saham di dalam syarikat luar persisir. Itu perkara yang berlainan Yang Berhormat.

“Saya telah baca sedikit sebanyak mengenai Pandora Papers, dan ia bukan mengenai outflow money, tapi shareholoding of several individuals di offshore. Dia bukan sorok wang seperti yang YB katakan.

“Jadi dua perkara berlainan, malah saya nampak pegangan syer, kecil saja, bukan berbilion. Ada yang lima pound saja… kalau tak silap saya,” katanya lagi.

Ekoran kenyataan Azhar itu, Anwar menzahirkan rasa tidak puas hati malah disifatkan sebagai ‘peguam bela’ kepada golongan yang menyimpan wang di luar negara.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendesak agar usul tersebut dibentang dan dibahaskan semalam juga memandangkan terdapat dakwaan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, sudah mencecah ratusan bilion.

Kata Anwar, isu tersebut wajar dibahaskan segera kerana ia bukan sahaja membabitkan Kertas Pandora, tetapi juga laporan Global Financial Integrity 2012 serta pendedahan Kertas Panama pada 2015.

“Yang Dipertua nak jadi peguam bagi pihak perasuah-perasuah ini sebab apa? Saya ada seluruh dokumen yang ada ini… dan ia (terangkan) bagaimana seorang menteri umpamanya, boleh simpan saham di sana.

“Kalau ini bukan pengaliran keluar ia datang dari mana? Dari langit? Saya mahu hari ini (semalam) juga dibentang dan dibahas.

“Dan seperti mana saya sebut, minggu lalu, kita tidak hukum, mungkin ada orang buka akaun di tax haven itu tidak semestinya cara rompakan atau rasuah.

“Tetapi kebanyakan kes yang terlibat ini melibatkan pembesar, menteri-menteri, pemimpin- pemimpin negara, yang tidak ada sebab mengapa boleh kumpul wang begitu banyak di luar negara,” tegas Anwar lagi.

Ekoran pembongkaran laporan Kertas Pandora itu, Ahmad Zahid menyatakan kesediaan untuk disiasat selepas didakwa memiliki akaun luar pesisir di British Virgin Island (BVI).

Sementara itu, ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin menganggap urusniaga yang didedahkan oleh laporan Kertas Pandora adalah tidak tepat kerana penglibatan beliau tidak merangkumi kesemua akaunnya.

Zafrul pula dalam satu kenyataan pada 4 Oktober lalu, mengesahkan beliau telah melepaskan kesemua jawatan dalam Kumpulan Kenanga Holdings Berhad pada Jun 2010.