Malaysia Dateline

Anwar berdepan cabaran perit

Dalam kolum Sinar Harian semalam saya menyentuh mengenai cabaran ekonomi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan kebersediaan beliau menghadapinya berdepan cabaran perit.

Maaflah kalau saya ulang sebut yang saya kenali beliau sebagai ahli politik arus perdana agak lama iaitu sejak beliau menyertai Umno pada 1982. Sedikit sebanyak saya terbabit dalam pembinaan kerjayanya sehingga dipecat dari Umno dan kerajaan pada 1998.

Saya kembali dalam orbit politik beliau apabila Bersatu menyertai Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum 2018. Pada 2020, berikutan rampasan kuasa Sheraton Move, saya keluar Bersatu dan tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi terus menyokong idealisme PH.

Maaf cakaplah kalau saya kata, pada mulanya beliau kurang berminat dalam hal-hal berkaitan ekonomi walaupun diberikan tugas meneruskan agenda kerajaan memperkenalkan perbankan Islam, bermula dengan Bank Islam.

Asalnya tugas menerajui Pasukan Petugas Bank Islam dipikul oleh teknokrat terkemuka, Almarhum Raja Mohar Raja Badiozaman. Apabila tugas itu dipindahkan oleh Perdana Menteri waktu itu, Dr Mahathir Mohamad, kepada Anwar, ia sudah hampir siap.

Anwar mendapat pengiktirafan Antarabangsa sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1990-an. Nasib beliau sangat baik kerana diserahkan sistem fiskal dan kewangan yang sudah dibersihkan oleh pendahulunya, Daim Zainuddin.

Daim yang menjadi Menteri Kewangan kali pertama dari 1984 hingga 1991 telah membersihkan kewangan kerajaan dengan membayar balik lebih awal hutang (pre-payment), memulihkan ekonomi daripada krisis tahun 1980-an dan melaksanakan pengswastaan.

Sekali ini Anwar mengambil alih pengurusan ekonomi negara pada saat ekonomi dunia diramalkan akan merosot teruk. Malaysia tidak terkecuali daripada ancaman tersebut. Saya tidak tahu sama ada Anwar sentiasa berminat dalam pengurusan ekonomi dan kewangan selama 24 tahun di luar kerajaan atau siapa penasihat ekonomi dan kewangan beliau sepanjang tempoh itu.

Waktu menjadi Menteri Kewangan dulu memang beliau mempunyai ramai penasihat, pakar rujuk dan tokoh korporat yang mendampinginya dan mendapat pelbagai projek kerajaan dari beliau. Sebahagian mereka sudah tidak ada tetapi masih ada beberapa orang yang dipercayai masih rapat dengan beliau.

Kemudian ada cabaran tambahan iaitu beliau telah membelakangkan dasar PH sendiri iaitu Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan kedua. Beliau melanggar hukum yang dipatuhi oleh Dr Mahathir itu atas alasan ini bukan kerajaan PH tetapi kerajaan perpaduan. Jadi tidak hairanlah kalau rakan seperjuangannya, Lim Kit Siang, bertanya: Adakah kerajaan Anwar Ibrahim ini permulaan era baru atau fajar palsu?

Mohon baca keratan Sinar Harian yang dilampirkan untuk kefahaman lebih mendalam mengenai situasi ekonomi Malaysia dan dunia.

Baca juga: Kerjasama PH-BN mampu lama tadbir Malaysia, PN telan asap sajalah!