Malaysia Dateline

Anwar beri amaran jangan ada campur tangan politik dalam Tabung Haji

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agar kerajaan tidak meminda status Lembaga Tabung Haji (LTH) dan meletakkannya di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, bidang tugas dan tanggungjawab bank negara jauh berbeza dengan pengurusan Tabung Haji dan mustahil sekiranya tiada walau satu orang yang boleh menguruskan agensi itu dengan cekap.

Menurutnya, institusi umat Islam itu tidak boleh lagi diuruskan dengan melibatkan campur tangan ahli-ahli politik.

“Kalau ada masalah pengurusan, mustahil tidak ada orang yang layak mengurus Tabung Haji ini. Dalam jutaan orang, tidak ada kah yang boleh uruskan dengan baik tanpa ada campur tangan politik?

“Yang menjadi jahanam institusi ini ialah campur tangan orang-orang politik. Keluarkan orang-orang ini dari pengurusan Tabung Haji. Selamatkan wang rakyat.

“Sesetengah orang bercakap gegar-gegar soal pertahankan Islam dan marah kalau wang Tabung Haji disalahguna, tapi sekarang kelu membisu,” tegasnya dalam satu rakaman video di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, jika benar ada yang salah tentang pengurusan Tabung Haji, seharusnya diambil tindakan berdasarkan laporan-laporan polis yang dibuat selama ini.

Beliau juga mengulangi pendiriannya bahawa tiada keperluan untuk bank negara mengambil alih tugas Tabung Haji oleh kerana isu moratorium juga masih tidak terkendali oleh pihak bank.

“Pengurusan harus tetap dan jangan izinkan orang politik berkepentingan campur urusan dana umat Islam.

“Tidak perlu sama sekali bank negara mengambil alih tugas kerana terlalu banyak urusan yang tak terkendali. Moratorium pun bank belum selesai dengan rajyat. Jangan bebankan bank dengan hal-hal yang mungkin akan menjejaskan kepentingan umat Islam dan Tabung Haji,” ujarnya.