Anwar bertemu Mahathir perjelas konteks pelantikan Latheefa

Anwar bertemu Mahathir perjelas konteks pelantikan Latheefa
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memuat naik gambar hasil pertemuannya dengan TUn Dr Mahathir Mohamad pada Selasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan selama 30 minit bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya  pada Selasa

Pertemuan itu diadakan berhubung persoalan yang timbul susulan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal bulan ini.

“Saya menjelaskan konteks persoalan mengenai pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Saya juga memaklumkan kepada Dr Mahathir, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengutuskan surat untuk bertemunya,” kata Anwar, yang juga Presiden PKR, menerusi satu posting di Facebook miliknya.

Sebelum ini, Pas mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam digantung.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penggantungan itu perlu dilakukan sehingga Pakatan Harapan (PH) menghormati janjinya sendiri.

Menurut Tuan Ibrahim, pelantikan Latheefa membuktikan jawatankuasa tersebut tidak memainkan peranannya.

Dalam tulisan di Facebook itu, Anwar turut berkata, beliau dan Dr Mahathir juga setuju kegiatan membanteras rasuah sama ada di bawah Kerajaan PH atau Barisan Nasional (BN), perlu lebih berkesan dilakukan Latheefa dan SPRM.

Tambahnya, kedua-dua mereka juga turut membincangkan isu-isu lain termasuk berkaitan hal ehwal antarabangsa.

Susulan pengumuman Pejabat Perdana Menteri mengenai pelantikan Latheefa pada Selasa minggu lalu (4 Jun), Anwar berkata pada Jumaat, Dr Mahathir perlu diberi ruang untuk memperjelaskan perkara itu.

Beliau berpendapat keputusan itu dibuat Dr Mahathir dan beliau juga tidak dimaklumkan mengenainya, sehubungan itu, penjelasan perlu dibuat supaya tidak timbul pelbagai dakwaan terhadap kerajaan PH.

Bagaimanapun, pada Isnin (10 Jun) Anwar menggesa semua pihak menerima keputusan Dr Mahathir dan memberikan ruang kepada Latheefa dan SPRM melaksanakan tugas dengan tegas dan berkesan.