Malaysia Dateline

Anwar bertemu Muhyiddin, bincang krisis Covid-19

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri petang semalam.

Kata beliau, dalam pertemuan selama 45 minit itu beliau membincangkan berkenaan langkah menangani Covid-19 yang sedang dihadapi negara.

“Saya menyatakan penghargaan atas khidmat jentera kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Saya turut bangkitkan soal penyampaian maklumat yang mesti telus dan keupayaan ujian ditingkatkan,” kata beliau menerusi Facebooknya semalam.

Ujar beliau, pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan disambut baik, namun katanya ia harus dipastikan keberkesanan pelaksanaannya agar tidak dipolitikkan di peringkat akar umbi.

Katanya lagi, beliau dan Muhyiddin juga menyinggung cadangan mengadakan sidang Parlimen pada 18 Mei ini dan masalah terkait Covid-19.

“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) serta pembangkang, dan akan mengemukakan pandangan kepada beliau,” kata beliau.

Sebelum ini dalam siaran langsung FB Live beliau, Anwar berkata, sekiranya sidang khas Parlimen diadakan, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tidak perlu khuatir kerana isu undi tidak percaya tidak akan dibangkitkan, ia hanya akan membincangkan mengenai krisis Covid-19 yang sedang dihadapi.

Katanya, adalah lebih penting fokus diberikan mengenai ekonomi dan kesan pandemik Covid-19 terhadap negara, bukannya soal politik.