Anwar bukan tolak Mahathir tetapi mahu perkukuh reformasi, kata Husam Musa

Anwar bukan tolak Mahathir tetapi mahu perkukuh reformasi, kata Husam Musa

Datuk Husam Musa yakin surat panjang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pucuk pimpinan PKR bukan bertujuan untuk menolak Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi bertujuan untuk mempastikan agenda reformasi diperkukuhkan.

“Saya yakin Anwar tidak berniat begitu. Takkan Anwar nak confront 1.2 juta rakyat Malaysia yang menandatangani Deklarasi Rakyat,” kata Husam dalam dialognya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada 1.2 juta rakyat negara ini yang telah menandatangani Deklarasi Rakyat yang diusahakan bersama oleh Mahathir untuk mendesak Datuk Seri Najib Razak agak turun dari jawatan perdana menteri.   Husam yakin, Anwar tidak berniat sedemikian ketika menulis surat itu.

Husam mengulas surat lapan halaman bertulisan tangan Anwar yang dihantar kepada pucuk pimpinan PKR dari dalam penjara Sungai Buluh.

Antara lain Anwar kesal kenapa Mahathir terus menyerang beliau selepas beliau menunjukkan kesediaan untuk bersama-sama gerakan Selamatkan Malaysia.

Menurut Husam, gerakan Selamatkan Malaysia kini sudah menjadi kuasa ketiga di negara ini yang benar-benar berkesan.

“Bukannya kuasa ketiga dikatakan oleh Pas itu, mana ada kuasa,” kata Husam dalam dialog itu merujuk kepada kenyataan pemimpin Pas bahawa mereka membentuk kuasa ketiga apabila bergabung dengan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan) pimpinan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil.

Dalam dialog itu juga, Husam yakin kesepakatan Pakatan Harapan akan bertambah dengan bantuan semua pihak untuk melihatnya baik.

“Kita kena pakat-pakat siram air biar sejuk. Kita jadikan perpecahan dalam Pas sebagi iktibar,” katanya.

 

TAGS