Malaysia Dateline

Anwar cabar Muhyiddin jelaskan peruntukan RM200 juta untuk lantikan politik

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) untuk menjelaskan berhubung peruntukan bernilai RM200 juta yang didakwa bakal digunakan bagi membuat lantikan politik.

Beliau mempersoalkan kewajaran menyediakan angka sebesar itu untuk melantik pegawai kontrak secara lantikan politik, walhal kerajaan sering memberi gambaran sebagai kerajaan prihatin.

Beliau juga menegaskan, terdapat peningkatan sebanyak RM181.4 juta berbanding tahun sebelumnya di mana angka itu tidak sepatutnya disediakan ketika banyak rakyat yang menganggur akibat pandemik Covid-19.

“Kita bicara soal Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pegawai khas. Rupa-rupanya di JPM kalau kita lihat dalam Butiran Besar 060000 dan Butiran Kecil 060200, emolumen kakitangan kontrak ada pertambahan RM200 juta pada tahun 2021.

“Saya mahu Perdana Menteri sendiri bangun untuk menjawab hari ini apa keperluan (peningkatan peruntukan), walhal gambaran dan kenyataan di media seolah-olah kita adalah kerajaan prihatin tentang derita rakyat.

“Tetapi kita berikan RM181.4 juta untuk pegawai kontrak yang sepatutnya dipindahkan ke barisan hadapan dan anak-anak muda yang menganggur yang terpaksa menyara anak-anak mereka,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Anwar juga mempertikaikan pelantikan duta-duta khas yang menurutnya tugas mereka bertindih dengan Kementerian Luar dan duta-duta besar sedia ada.

Katanya lagi, duta-duta khas itu dilihat gagal memainkan peranan yang sepatutnya di saat dunia masih berperang dengan Covid-19 berikutan rata-rata mereka kini berada di Kuala Lumpur.

“Kita lihat anggaran perbelanjaan mengurus meningkat RM482.4 juta berbanding tahun lalu, maknanya naik 10.7 peratus.

“Membincangkan soal Covid-19, keprihatinan tidak setimpal dengan membayar, memberikan upah kepada jawatan yang tidak berkesan dalam Covid-19 ini.

“Duta-duta khas, ke mana mereka pergi? Semua di Kuala Lumpur,” tegasnya.