Anwar cadang kerajaan umum tahfiz yang tidak berdaftar

Anwar ketika hadir ke mahkamah. Beliau mahu kerajaan umumkan tahfiz yang tidak berdaftar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah untuk mengumumkan jumlah maahad tahfiz yang tidak berdaftar, yang beroperasi di premis tanpa permit dan langkah keselamatan segera.

Dalam satu kenyataannya, bekas menteri kewangan itu berkata, langkah ini perlu memandangkan kejadian kebakaran ini adalah insiden yang ke-212 melibatkan maahad tahfiz dari 2015 hingga kini.

“Saya gesa pihak Kerajaan untuk ambil langkah lebih serius dan menyeluruh, termasuk dengan mengumumkan jumlah maahad tahfiz yang tidak berdaftar dengan agensi bertanggungjawab, jumlah maahad tahfiz yang beroperasi di premis-premis tanpa permit PBT atau kelulusan bomba, dan langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berlaku lagi,” kata bekas ketua pembangkang itu.

Dalam kenyataannya, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan berkata, dia teramat sugul menerima berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut nyawa 21 pelajar dan 2 guru pada 14 September lalu. Saya ingin merakamkan ucapan takziah buat semua keluarga yang terkesan akibat tragedi ini.

Beliau berharap, penangkapan 7 suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut akan dapat merungkai bagaimana kejadian ini boleh terjadi.

“Walaupun dipercayai wujudnya unsur khianat, namun piawaian keselamatan wajib ditepati.

“Kita tidak mampu cuai, lebih-lebih lagi kerana melibatkan nyawa dan masa depan anak-anak kita,” kata Anwar.

Pada masa yang sama, beliau menerima baik usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksana audit tahap keselamatan maahad-maahad tahfiz di seluruh negeri.

CATEGORIES
TAGS