Malaysia Dateline

Anwar calon terbaik Perdana Menteri

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon terbaik Perdana Menteri Ke-9 Malaysia.

Berpengalaman luas dalam selok belok pentadbiran negara, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga kini memimpin gabungan politik PH, iaitu antara blok politik terbesar tanah air.

Bersama rakan-rakan blok pembangkang – PH Plus terdiri daripada 105 ahli Parlimen. Kekuatan itu diperlihat menerusi kesepaduan blok pembangkang yang membantah penutupan Parlimen sebelum ini.

Sebagai seorang yang berkarisma serta disegani baik kawan atau pun lawan, kepimpinan Anwar amat diperlukan lebih-lebih lagi ketika negara sedang dibelenggu pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Perlantikan Anwar itu sekali gus dilihat dapat mengembalikan mandat majoriti rakyat yang mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, bagi penganalisis politik, Prof. Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, beliau memilih Anwar sebagai Perdana Menteri kerana Pengerusi PH itu mengangkat nilai dan falsafah demokrasi yang beliau mahukan iaitu kebenaran, keadilan, kesejahteraan dan kemanusiaan.

“Jika diminta memilih satu dari empat nama, siapa PM (perdana menteri) pilihan saya? Saya memilih Dato Seri Anwar Ibrahim, bukannya kerana saya mahu memberi peluang kepada beliau setelah lama berjuang. Tidak.

“Tetapi kerana beliau mengangkat nilai dan falsafah demokrasi yang saya mahukan: kebenaran, keadilan, kesejahteraan dan kemanusiaan,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, veteran DAP, Lim Kit Siang menjelaskan, Malaysia memerlukan Anwar sebagai perdana menteri baharu untuk membawa masuk pasukan dan dasar yang lebih segar untuk menangani krisis kesihatan akibat Covid-19 dan juga menyalakan semangat untuk Impian Malaysia.

Tegas Kit Siang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob– yang disebut-sebut akan diangkat menjadi perdana menteri – tidak layak untuk menggalas tanggungjawab tersebut kerana telah menjadi “muka awam kerajaan yang gagal menguruskan wabak”.

“Melainkan terdapatnya kepimpinan dan dasar-dasar baharu, Malaysia akan terus menuju ke arah 15,000 kematian dan lebih daripada 1.7 juta kes Covid-19 semasa kita menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos.

“Tidak akan ada perubahan arah dasar, sama ada dalam pengurusan pandemik Covid-19, kebangkitan semula ekonomi, atau dasar pembangunan negara bangsa yang telah menyebabkan negara dikatakan sebagai berada dalam arah menjadi sebuah negara gagal oleh para pemerhati politik,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah tegasnya, Ismail sebagai perdana menteri hanya akan meneruskan dasar kakistokrasi dan kleptokrasi sedia ada yang hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal.

“Malaysia memerlukan seorang perdana menteri baharu dan kepimpinan baharu di mana semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik boleh bercita-cita dengan Impian Malaysia, di mana negara kita menjadi sebuah negara berkelas dunia, dan mengambil langkah untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia untuk menjadikan negara kita ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’,” ujarnya.

Sehubungan itu, jelas bahawa jawapan bagi persoalan siapakah Perdana Menteri Malaysia Ke-9 sudah pun terjawab – orangnya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.