Anwar ceria tonton Mahathir angkat sumpah PM

Anwar ceria tonton Mahathir angkat sumpah PM

Anwar menyaksikan siaran langsung majlis angkat sumpah perdana menteri ke-7 negara.

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi sebahagian jutaan rakyat Malaysia yang menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah jawatan dan kerahsiaan sebagai Perdana Menteri malam tadi.

Reaksi ceria Anwar itu jelas dapat dilihat menerusi satu klip video berdurasi seminit yang dimuat naik dalam Facebook Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin.

Difahamkan berada di Hospital Rehabilitasi Cheras, bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut turut memberi komentar ketika menyaksikan lintas langsung dari Istana Negara itu.

“Kamu perlu belajar semua benda ni untuk menjadi (Perdana) Menteri,” kata Anwar, 70, yang sedang menjalani rawatan susulan pembedahannya baru-baru ini.

Selain Afif yang juga Adun Seberang Jaya, turut dilihat menziarahi Anwar di pusat perubatan itu Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

Tun Mahathir mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kali kedua selepas PH yang dipengerusikannya berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelmarin.

Beliau yang berbaju Melayu hitam dan bersamping songket hitam keemasan membaca sumpah jawatan tersebut di depan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

5.3
OVERALL SCORE
: 5.0
2 user votes x 5.5
CATEGORIES
TAGS