Malaysia Dateline

Anwar dan kredibiliti

Kenyataan dan dakwaaan Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat itu bergantung kepada persoalan kredibiliti.

Persoalan yang akan dibahas adalah bagaimana pengaruh kredibiliti seseorang komunikator politik seperti Anwar mendapatkan dukungan ahli politik itu sendiri, rakyat dan pengesahan daripada Yang di-Pertuan Agong dalam mendirikan kerajaan baharu nanti.

Ditinjau dari perspektif komunikasi politik, kredibililiti seseorang komunikator memiliki tingkat signifikansi yang sangat tinggi untuk mendapatkan keyakinan rakyat dan ahli parlimen itu sendiri.

Komunikator politik harus dapat mengemukakan mesej yang efektif dan merangka bentuk sebuah mesej sehingga terjadi perubahan seperti yang diinginkan komunikator dalam hal pembentukan kerajaan baharu.

Dengan demikian dapat dikatakan bahwa keberhasilan komunikator politik pada saat melakukan proses komunikasi politik dengan khalayaknya adalah pada saat di mana khalayak bersedia memberikan suaranya dan persetujuan dalam pembentukan kerajaan baharu misalnya.

Kredibilti kenyataan Anwar telah mendapat dukungan parti AMANAH dan DAP yag tegas menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Namun yang memeranjatkan secara terbukanya Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa Umno tidak boleh menghalang mana-mana anggota parlimennya daripada menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan yang agak longgar ini seolah-olah menyakinkan bahawa kenyataan Anwar adalah kredibel. Ini turut dipertahankan oleh pemimpin Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan bahawa Zahid ingin mententeramkan akar umbi parti itu yang tidak senang terhadap kerjasama dengan Bersatu.

Kenyataan juga dapat difahamkan sebagai sokongan kepada Anwar dan terdapat kalangan ahli parlimen Umno yang tidak senang Perdana Menteri sekarang.

Apa yang berlaku dalam Umno sebenarnya? Wujudkah pepecahan kerana terdapat kem yang menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (jika ditakdirkan Allah).

Kolumnis The Vibes, Amar Shah Mohsen (portal berita yang dirasmikan oleh Anwar baru-baru ini) mengatakan sumber memberitahu bahawa 15 ahli parlimen Umno telah memberikan sokongan untuk beliau membentuk kerajaan baharu tanpa permintaan sebarang kedudukan.

Ini mungkin menerangkan mengapa Zahid membuat kenyataan tersebut. Adakah Zahid dan Nur Jazlan di antara 15 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong Anwar itu?

Namun kenyataan Zahid yang disebut sebagai “langkah Anwar” itu bertentangan dengan pemimpin Umno lain seperti timbalan Zahid, Mohamad Hassan dan Setiausaha Agung BN Annuar Musa yang dengan tegas menolak dakwaan Anwar.

Menurut Amar yang mendakwa bahawa dengan sokongan 42 ahli parlimen DAP, 11 dari Amanah, 9 Warisan, seorang dari UPKO dan 38 PKR, Anwar sudah mempunyai kredibiti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Ini masih tidak mengira ahli parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa ahli parlimen yang lain.

Oleh itu komunikasi yang kredibel merupakan proses penyampaian mesej daripada seseorang komunikator politik atau pemimpin politik kepada komunikan dengan maksud bahwa apapun tujuan mesej yang disampaikan dapat berpengaruh terhadap komunikan atau khalayak politik atau rakyat sehingga tujuannya dapat tercapai.

Sementara dalam perpektif sosiologi, menjelaskan komunikasi sebagai proses memaknai yang dilakukan seseorang terhadap maklumat, sikap, dan perilaku orang lain yang berbentuk pengetahuan, pembicaraan, gerak- geri, atau sikap, perilaku dan perasaan sehingga berlakunya reaksi terhadap maklumat, sikap, dan perilaku tersebut berdasarkan pada pengalaman yang pernah dialami.

Fenomena komunikasi dipengaruhi pula oleh media yang digunakan sehingga media terkadang ikut mempengaruhi isi dan penafsiran maklumat tersebut.

Namun dalam kredibiliti komunikasi Anwar itu masih perlu melalui proses pembuktian dihadapan YDP Agong dan keadaan momentum rakyat menyokong langkah yang diambil ketua pembangkang itu setakat ini.

Jika tidak rakyat dan pemimpn politik yang menentang mengiyakan kenyataan Anwar itu sebagai tidak lebih hanya satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang mereka akan dakwa pernah berkali-kali dilakukannya sebelum ini. Bahkan kenyataan semua parti yang bekerjasama dan mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) menolak dakwaan Presiden PKR ini yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan bersamanya, gabungan itu menyifatkan:

“Tindakan terbaru beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.

“Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu disokong oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan.

Turut menyokong, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Datuk Alexander Nanta Linggi; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim serta Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Guan Dee Kohoi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata masyarakat secara umumnya tidak boleh menerima bulat-bulat dakwaan Anwar mendapat sokongan membentuk kerajaan baharu.

Ini kerana dakwaan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu dengan melihat kepada akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani barisan Ahli Parlimen.

“Pada saya apabila Anwar mengatakan telah mendapat sokongan majoriti, itu hanyalah kata-kata. Perlu dibuktikan dengan beberapa cara termasuk melihat kepada SD atau pengumuman secara jelas daripada Ahli Parlimen. Jadi, kita tidak perlu menerima bulat-bulat kenyataan beliau lagi,” katanya.

Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘sindrom bulan September’.

Ini kerana menurut beliau, perkara itu pernah berlaku sebelum ini pada 16 September 2008.

“September Syndrome… Previously 16, now 26 (Sept),” katanya ringkas menerusi satu ciapan di akaun Twitternya di sini pada Rabu.

Takiyuddin menegaskan, walau bagaimanapun kuasa kerajaan masih terletak di bawah pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Kenyataan-kenyataan di atas seolah-olah menyindir Anwar dan mencabar kredibiliti beliau sebagai pemimpin dan ketokohannya.

Namun dalam hal ini kalau tanpa persetujuan ahli parlimen yang menyokongnya, Anwar tidak mungkin membuat pengumumannya itu. Ini bukannya mencari gimik atau publisiti murahan.

Kerja-kerja rundingan bagi mendapat sokongan mungkin telah dibuat berbulan-bulan lalu bukannya semalam atau dua minggu lepas. Jika tidak Anwar tidak akan berani membuat kenyataan yang akan memakan dirinya.

Dari kenyataan dan dakwaan beliau telah memperolehi sokongan hampir dua pertiga dan ini melebihi 10 dari majoriti mudah dan ini bermakna ia bukanlah suatu kerja mudah untuk mendapatkan SD begitu sahaja.

Dalam hal ini ahli parlimen dari pelbagai parti yang mengemukakan SD menyokong beliau serta gabungan baharu PH yang sudah tentu bekerja secara senyap-senyap supaya tidak kelihatan ketara kepada sahabat dalam parti mereka. Ini adalah kelebihan Anwar.

Dengan kenyataan Anwar yang mempunyai cukup majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu apa yang menjadi taruhan sekarang kredibiliti Anwar itu sendiri yang akan dinilai rakyat.

Dalam situasi naik turun virus Covid-19 dan kedudukan ekonomi yang terumbang ambing, rakyat tidak mahu keadaan negara berada dalam situasi tidak menentu yang akan merisaukan mereka. Akhirnya yang terbeban ialah rakyat yang akan menanggung segala masalah negara ini.

Ini kerana sebarang langkah menubuhkan kerajaan baharu diharap dapat menjamin urustadbir negara yang stabil, kukuh dan menyakinkan rakyat di negara ini.

* Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).