Malaysia Dateline

‘Anwar dan Muhyiddin patut berunding dari hati ke hati tanpa libat parti yang ditolak rakyat’

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berunding terlebih dahulu bagi tujuan membentuk kerajaan.

Menurutnya, kedua-dua blok parti yang memiliki kerusi terbanyak dengan masing-masing memperoleh 82 sera 73 kerusi itu sepatutnya duduk semeja sebelum mengambil apa-apa langkah melibatkan BN.

“Parti yang sama-sama beroleh kejayaan berbincang tanpa melibatkan parti yang ditolak oleh rakyat.

“Pada tahun 1974, didapati kerelaan dan kesediaan Datuk Asri ketika itu berbincang dengan Tun Razak.

“Sekarang, langkah terbaik dilakukan sekarang ialah Muhyiddin dan Anwar berbincang dari hati ke hati dalam konteks kepentingan negara.

Rais Yatim

“Selepas itu, baru kedua-duanya berbincang dengan BN yang hanya mendapat 30 kerusi,” katanya di Awani sebentar tadi.

Berhubung, hubungan keruh antara Pas dengan PH sebelum ini, beliau berpendapat, segalanya boleh ditangani sekiranya saling bermuafakat.

“Kita maklum Pas tidak seronok dengan PH dalam beberapa perkara. Ini semua boleh dirunding,” katanya lagi.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan PH menguasai sebanyak 82 kerusi Parlimen manakala PN menang 73 Parlimen termasuk 22 kerusi dari Pas.

Selain itu, BN mendapat 30 kerusi Parlimen, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula menang 22 kerusi, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Parti Warisan Sabah (Warisan) (tiga) dan calon Bebas (dua kerusi).