Malaysia Dateline

Anwar dan PKR pemenang, Mahathir tanpa parti tewas, kata ahli akademik

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR dilihat sebagai juara tanpa menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, PKR sebagai ‘kingmaker’ sebenar dalam menentukan sama ada pencalonan Mahathir akan diteruskan atau tidak.

Pada masa ini, jelasnya, Anwar dan PKR tidak mengalami sebarang kerugian kerana boleh memberi tumpuan mengukuhkan dalaman parti serta melakukan persediaan untuk menghadapi PRU akan datang, jika ia diadakan lebih awal.

Dr Awang Azman Awang Pawi

“PKR masih boleh menjadi pembangkang yang berintegriti, menguatkan akar umbi, mendapat simpati rakyat kerana sudah hampir tiga kali dinafikan untuk jadi Perdana Menteri.

“Manakala yang tewas dalam keadaan ini ialah Mahathir yang tanpa mempunyai parti, tidak disokong oleh PKR, rancangannya untuk menjadi perdana menteri kali ketiga akan gagal dan boleh menyebabkan karier politik Mahathir berakhir,” dipetik Malaysiakini.

Semalam, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berpendapat Anwar telah meletakkan asas yang kukuh dengan perjuangan yang jelas apa yang negara ini mahukan.

Sehubungan itu, Mujahid menyeru agar PH menumpukan perhatian untuk membina kembali asas penubuhan PH dengan semangat perubahan sejak tahun 1999 lagi.

“Kita melaluinya dengan pelbagai kesukaran termasuk Anwar dengan jiwa penuh besarnya menempuh pelbagai kesusahan dan keperitan,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu lagi.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, pilihan terbaik adalah agar Anwar mengetuai PH di tengah-tengah masalah yang dihadapi PH pada masa ini.

Beliau berpendapat Anwar mampu membawa momentum baru kepada gabungan itu berbanding kepimpinan Mahathir sebelum ini yang menyaksikan PH tumbang hanya selepas 22 bulan menjadi kerajaan Persekutuan.