Anwar dan Politik Tarikh

 (Bahagian 2)

Laporan Malaysia Dateline (10 Oktober 2019) menyatakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, ada perjanjian bertulis yang menyatakan bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. (Saya cuba mencari sama ada kenyataan Anwar ada disiarkan oleh media online yang lain tetapi tidak ditemui) Ini merupakan berita eklusif bagi Malaysia Dateline.

Jelas Anwar, perjanjian itu bagaimanapun bukan hanya melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebaliknya, dinyatakan secara umum dengan jelas sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Pertamanya, terdapat satu perjanjian iaitu perjanjian bertulis dan ia (perjanjian) bukan hanya di kalangan pemimpin (Pakatan Harapan), namun mesejnya jelas sepanjang pilihan raya lalu, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Rasanya perjanjian bertulis telah saya dengar dari rakan-rakan Abim sendiri tetapi yang tidak diketahui tarikhnya. Persoalannya adakah perjanjian bertulis menyatakan tarikh peralihannya.

Mungkin juga selepas ini Anwar perlulah menunjukkan perjanjian bertulis tersebut sebagai buktinya dan apa bentuk perjanjian itu dan adakah ia perjanjian bertandatangan Dr Mahathir. Hanya Anwar dan Mahathir yang tahu, jika ia surat peribadi antara kedua pemimpin ini.

Jika ada tarikh dalam perjanjian bertulis, saya rasa ini adalah peringkat pertama Anwar menunjukkan bukti dan jika wujud tarikhnya ia adalah peringkat kedua. Dan ia merupakan jawapan kepada kenapa Anwar sering menyatakan isu mengenai peralihan kuasa kerana ada asas bagi Ahli Parlimen Port Dickson itu, bolehkah dikatakan sebagai mengingat atau bagi pihak Anwar seolah-olah membuat tuntutan.

Tidak samai 24 jam Anwar telah digesa menunjukkan perjanjian hitam putih menyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyerahkan kuasa kepada penggantinya, setelah dua tahun menjawat jawatan berkenaan.
Anwar digesa berbuat demikian oleh Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang pada masa sama turut mencabar Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk mendedahkan perjanjian tersebut kepada rakyat sekiranya ia wujud.

“Tolong bagi tahu Anwar bahawa pelan peralihan kuasa memang ada! Siapa pun tak nafikan perkara tersebut! Tetapi, sekiranya ada perjanjian itu, tunjukkannya kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Apa yang saya pertikaikan, adakah sebarang bentuk perjanjian hitam putih yang menyatakan Dr Mahathir kena serah kuasanya setelah dua tahun menjawat jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya?

Lebih buruk lagi Khairuddin meningatkan supaya “Anwar, tolong jangan putar belitkan fakta! Saya tidak pernah menidakkan pelan peralihan kuasa memang dicapai secara sepakat dalam Majlis Presiden PH, tetapi adakah perjanjian secara hitam putih bahawa Dr Mahathir hanya menjadi ‘Perdana Menteri interim’ selama dua tahun saja? soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jika diteliti apakah masalahnya dengan proses peralihan kuasa ini? Kenapa Dr Mahathir tidak menyatakan dengan jelas tarikh peralihan kuasa itu? Jika adanya perjanjian bertulis rasanya proses harus berjalan lancar. Ini kerana proses peralihan kuasa berkenaan tidak menjejaskan atau menggugat parti gabungan dalam PH.

Anwar sendiri menyatakan “Sekarang, adakah ada perubahan dalam kedudukan-kedudukan dalam Keadilan? Tidak. Adakah DAP ada perubahan dalam kedudukan? Tidak. Amanah dan kedudukan Mat Sabu berubah? Tidak.

“Maka, jelas, tiada isu dibangkitkan. Bersatu? juga tidak. Tun Dr Mahathir telah menyatakannya secara tertutup dan terbuka,” ujarnya lagi.
Tegasnya, apa yang lebih penting ialah bukan apa yang Anwar mahu, sebaliknya apa yang negara perlu dalam memastikan pembangunan ekonomi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah berkata, isu peralihan kuasa Perdana Menteri tidak sepatutnya dibangkitkan lagi.

Beliau berkata, perkara itu telah diputuskan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei tahun lepas.

“Isu ini tidak timbul kerana kita dah ada perjanjian dahulu masa kita pergi ke PRU, kita katakan Perdana Menteri akan dan Perdana Menteri yang susulan itu, itulah yang dijanjikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MySTEMI Foundation.

Beliau mengulas gesaan bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang mendesak peralihan kuasa pentadbiran negara oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilakukan segera yang kemudiannya menerima kenyataan balas termasuk oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dengan menyifatkan gesaan itu tidak bertanggungjawab dan terpesong daripada keputusan Majlis Presiden PH.

Dr Wan Azizah lebih tegas dan memberikan keyakinan bahawa isu ini adalah muktamad.

Saya tidak melihat sebarang kenyataan berbalah atau pertikaian dari Parti Amanah dan DAP berhubung dengan peralihan kuasa ini. Apa yang peliknya cetusan kenyataan kontroversial datang dari parti pimpinan Anwar sendiri iaitu PKR, kenyataan Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Tian Chua dan beberapa ahli PKR yang lain.

Selain itu kenyataan-kenyataan membalas berhubungan isu peralihan kuasa dan tarikhnya datang dari Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq dan seorang lagi penyokong kuat Dr Mahathir, Khairuddin Abu Hassan. Oleh itu jika isu peralihan kuasa dan tarikh menjadi konteroversial, ia datang dari dalam PKR sendiri dan Bersatu, parti pimpinan Pengerusinya Dr Mahathir.

Apabila dibaca kenyataan dapat mereka dapat digolongkan kepada dua bentuk wacana: pertama yang meminta Anwar dan penyokong-penyokonnya supaya tidak mendesak Dr Mahathir meletakkan tarikh peralihan kuasa kerana PM mempunyai tugas-tugas berat yang lebih penting seperti mengurangkan hutang, memperbetulkan politik dan menebus maruah Melayu.

Bentuk wacana kedua seolah-olah bertegas tidak mahu atau menolak Anwar menjadi PM. Dalam wacana ini Anwar dilihat sebagai tamak, gelojoh, memberikan tekanan atau berahi kuasa.

Seperkara lagi yang berhubungan dengan peralihan kuasa dan tarikhnya ialah Anwar tidak ditonjolkan sebagai bakal PM. Ini dapat dilihat dalam perasmian Dasar Kemakmuran Bersama 2030.

Nama yang tertonjol bersama Dr Mahathir ialah Azmin. Tan Sri Muhyiddin Yassin ada dalam DKB2030 kerana beliau adalah pengerusi penganjur iaitu Institut Masa Depan Malaysia (MASA). Ini juga kerana Azmin adalah Menteri Hal-Ehwal Ekonomi dan kementeriannya telah dipertanggungjawab untuk melengkap dan menyediakan WKB 2030 dan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 14 September 2019.

Tetapi di manakah ruang untuk bakal Perdana Menteri dalam DKB2030, beliau harus tahu jika hendak mengemudi negara. Adakah bakal PM tidak dijemput atau dijemput tetapi tidak menghadirinya. Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah atas kapasiti sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perkara yang sama berlaku dalam Kongres Maruah Melayu, Anwar semacam ditinggalkan, ada isu tentang Anwar tidak dijemput.
Anwar bukanlah pemimpin peringkat daerah. Beliau adalah epitome dan pak dalang melahirkan gerakan reformasi di Malaysia dan merupakan tokoh Melayu yang progresif. Anwar patut dijemput kerana bakal PM harus mengetahui isu, maruah dan masa depan orang Melayu.

Buat waktu ini jika tidak Anwar siapa yang lebih layak sebagai pemegang taruh kepentingan orang Melayu.

Kenyataan Prof Zainal Kling sebagai penganjur bahawa Anwar tidak dijemput kerana beliau mewakili PKR, sebuah parti yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bukannya orang Melayu sahaja adalah alasan dangkal dan pelik. Bayangkan pemimpin pembangkang Melayu hadir dalam Kongres Maruah Melayu tetapi pemimpin Melayu dari kerajaan PH tidak dijemput hadir. Pelik wal ajaib, semacam ada rancangan mengenepikan bakal PM ini.

Mungkin untuk menjejaskan kedudukan Anwar sebagai bakal PM dan melemahkam kedudukan beliau dalam PKR, Pengasas bersama PKR Syed Husin Ali mendakwa timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali merancang menubuhkan parti baru apabila pergeserannya dengan Anwar Ibrahim kian meruncing.

Ia merupakan satu daripada tiga perancangan yang diusahakan Azmin mutakhir ini, menurut bekas timbalan presiden PKR itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Bagaimanapun, pemimpin PKR yang rapat dengan Azmin menafikan dakwaan itu.
Syed Husin yang kini menjadi ahli biro politik dan lembaga penasihat PKR, berkata beliau tahn bahawa Azmin serius untuk menubuhkan parti baru.
Sehubungan itu Azmin boleh menjadi perdana menteri berikutnya jika beliau keluar PKR dan menubuhkan partinya sendiri, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Bercakap kepada wartawan di Parlimen hari ini, Annuar berkata ia tentu menarik untuk melihat siapa lagi dalam PKR yang akan keluar parti mengikut Azmin, yang juga timbalan presiden parti itu.(Malaysia Insight, 10 Oktober 2019).

Nampaknya daripada proses peralihan yang sepatut mudah dan tersusun kini menjadi semakin kabur, walaupun musim jerubu sudah tamat tetapi jerebu politik masih mengaburkan lanskap politik negara. Tidak dipastikan apa yang memulihkan jerebu politik tarikh ini, hanya Dr Mahathir yang boleh memberikan keputusannya dan menjernihkan ekologi politik negara.

Baca: Bahagian 1

*Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)