Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai isu ucapan berbaur fitnah dalam kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.
Disebabkan itu beliau berjaya mendapat perintah injunksi inter-parte bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada mengulangi dan menerbitkan semula kenyataan yang memfitnahnya.
Memetik Harian Metro, Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu semalam.
Ia adalah selepas mendengar hujahan peguam Datuk S N Nair yang mewakili Anwar dan peguam Yusfarizal Yussoff yang bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi pada 16 Oktober lalu.
Nair memaklumkan mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya dan memberikan injunksi inter-parte (perintah larangan) sehingga kes saman utama diputuskan mahkamah.
Muhammad Sanusi juga dilarang daripada mengeluarkan kenyataan sama atau yang mempunyai kesan sama dalam apa jua cara, bentuk atau lain-lain yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan Anwar sama ada secara langsung atau sindiran seperti dalam pernyataan tuntutan anak guamnya.
Mahkamah menetapkan pada 19 Februari depan melalui prosiding E-Review di hadapan pendaftar bagi status terkini pemfailan dokumen sebelum perbicaraan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mendakwa pada 14 November lalu, kenyataan fitnah daripada video itu dipetik oleh MalaysiaKini.
Portal itu dikatakan menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bertajuk “Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang PAS kata kena ‘pikiaq’.
Memetik BERNAMA Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.
Menurut plaintif kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov tahun lepas.
Muhammad Sanusi dalam pernyataan pembelaannya berkata bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Anwar, sebaliknya mengkritik Ahli Parlimen Tambun itu bagi tujuan kempen PRU15.
Baca juga: Ucapan keras Anwar depan muka Joe Biden dikecam Mossad Israel, kemenangan buat Malaysia!