Malaysia Dateline

Anwar desak beri semula moratorium secara bersasar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar kerajaan melaksanakan moratorium secara bersasar dengan memfokuskan kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, kerajaan perlu mengkaji semula keputusan Kabinet yang tidak melanjutkan moratorium pinjaman selama tiga bulan seperti yang digesa.

Beliau berkata, kerajaan tidak semestinya mengenakan moratorium penuh, namun ia adalah satu pengabaian tanggungjawab yang serius apabila moratorium bersasar gagal dilaksanakan.

“Kepimpinan yang ada pada hari ini lemah apabila meletakkan para peminjam di bawah telunjuk institusi bank.

“Kita belum nampak sebarang dampak pemulihan yang berkesan, terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah atau aliran masuk yang stabil kepada pengusaha-pengusaha kecil di Malaysia.

“Kelas peminjam seperti ini mesti diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, institusi perbankan secara umumnya telah menghubungi seramai 1.4 juta peminjam, di mana sejumlah 380,000 dari angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan bantuan kewangan.

Daripada 380,000 itu, sebanyak 98 peratus telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara yang perlu diambil kira adalah terdapat 8.3 juta peminjam di Malaysia di mana ini bermaksud bank-bank hanya dapat berhubung dengan seramai 17 peratus sahaja dari jumlah keseluruhan peminjam.

Angka itu katanya tidak begitu meyakinkan dan ia mencerminkan betapa kerajaan dan institusi bank masih belum memahami sentimen keseluruhan para peminjam.

“Saya gesa kerajaan untuk segera mengkaji semula langkah ini, dan melaksanakan moratoriun pinjaman secara bersasar, dengan fokus utama adalah kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana.

“Kerajaan dan institusi bank mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan (liquidity) dan keuntungan terkini sektor perbankan.

“Bentangkannya di Parlimen supaya ahli-ahli Parlimen dapat merencana, mencari jalan yang munasabah dan menyeluruh,” katanya lagi.