Malaysia Dateline

Anwar desak Muhyiddin jelaskan dari mana kekayaan diperoleh pemimpin Umno

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan dari mana kekayaan luar biasa yang diperolehi oleh beberapa pemimpin Melayu ketika zaman pemerintahan Umno-BN.

Kata Presiden PKR itu jika benar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berikrar untuk membersihkan jentera kerajaan, beliau harus meminta penjelasan dari mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor, tentang bagaimana wang begitu banyak dikumpulnya.

“Kejutan baru mengenai kekayaan luar biasa pemimpin Umno.

“Di Mahkamah Kuala Lumpur dibongkar kekayaan mantan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Kita juga mendapat maklum pergesaran mahkamah antara keluarga mantan Menteri Jamaluddin Jarjis (Allahyarham) mencecah RM2bilion.

“Inilah pemimpin dahulu yang menjadi slogan kononnya membela nasib Melayu dan disokong oleh ramai rakyat.

“Jika benar, Tan Sri Muhyiddin harus minta penjelasan dari mana wang itu banyak terkumpul.

“Dari khazanah rakyat mana, saham bumiputera yang mana, tanah yang mana, barulah secara jujur kita boleh katakan beliau pejuang hakiki orang Melayu,” ujarnya dalam video yang dimuatnaik di laman facebooknya semalam.

Menurut Ketua Umum Pakatan Harapan itu lagi, hari ini pemimpin politik membuat janji untuk mempertahankan orang Melayu semata-mata untuk mendapat sokongan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Sekarang ini heboh sikap pemimpin politik yang mahu dokongan dengan menjanjikan merekalah pemimpun ulung mleayu tetapi kenyataan sebaliknya.

“Jika pemimpin yang ikhlas tidak akan memunggah harta sebanyak itu. Ini kerana tanggungjawab mereka menjaga kepentingan majoriti Melayu di kawasan felda, nelayan petani, penjawat awam, pekerja kilang yang sarat dengana keperitan hidup,” tegasnya lagi.

Justeru Ahli Parlimen Port Dickson ini memohon agar rakyat membuka mata agar perdana menteri yang baru dilantik itu, dapat memberi jawapan.

“Beri jawapan yang saksama jangan hanya bergelut memperoleh kuasa tetapi tidak memikul amanah rakyat,” tambahnya lagi.

Semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam pemeriksaan utama oleh Hock Chuan yang mewakili bekas Setiausaha Agung Umno itu, berkata, beliau mengisytiharkan asetnya kepada tiga perdana menteri semasa beliau berkhidmat sejak menyertai Kabinet pada 2001, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ditanya lanjut oleh Hock Chuan mengenai jumlah asetnya yang diisytihar kepada Dr Mahathir pada 2001, Tengku Adnan berkata: “Saya rasa ia melebihi RM900 juta.”

Kepada soalan sama ada angka itu ialah RM938,643,566.16, bekas menteri itu menjawab: “Betul”, kata Ahli Parlimen Putrajaya itu.