Anwar desak Takiyuddin henti salahguna konsep takdir

Oleh ARIF ATAN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan agar lebih serius melakukan pemantauan terhadap kawasan Gunung Jerai susulan bencana kepala air atau banjir puing.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut berkata, Takiyuddin juga telah membuat kenyataan tidak betul berhubung status kawasan gunung kedua tertinggi di Kedah itu.

“Saya meneliti jawapan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tatkala menjawab soalan saya mengenai aktiviti pembalakan di Dewan Rakyat semalam.

“Setelah mendengar hujahan beliau, perlu dijelaskan bahawa kawasan Gunung Jerai tidak berada di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda.

“Justeru, segala kenyataan yang dibuatnya tidak tepat dan mengelirukan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Takiyuddin berkata, bencana kepala air di kawasan itu pada Ogos lalu sebagai “takdir Allah SWT”.

Ahli Parlimen Pas Kota Bharu itu juga berkata, tiada sebarang aktiviti pembalakan berlaku di Hutan Simpan Gunung Jerai.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pihak kementerian harus melaksanakan siasatan menyeluruh apakah berlaku sebarang aktiviti pencerobohan hutan di kawasan tersebut.

“Ini kerana Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sebelum ini mengenalpasti kira-kira 3,500 hektar kawasan hutan simpan di seluruh negeri ini telah diteroka secara haram sejak 2011,” katanya.

Jelas Anwar, perubahan iklim hanya faktor sampingan kepada musibah itu memandangkan faktor-faktor utama adalah pembalakan, aktiviti pembinaan, agro serta penukaran status hutan dara ke kawasan penempatan seperti disebut pakar hidrologi Chan Ngai Weng dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Dalam masa sama, kata Anwar, NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga menyebut air yang berselut adalah bukti nyata bahawa aktiviti pembalakan terus berlaku dengan kadar yang melampau.
“Kerajaan negeri Kedah, kerajaan Persekutuan serta kementerian harus memantau dan bertindak.

“Saya mendesak menteri bertanggungjawab agar lebih serius melakukan pemantauan dan hentikan salahguna konsep takdir kerana faktor-faktor utama adalah berpunca dari kerakusan dan ketamakan manusia,” kata Anwar lagi.