Anwar dibenar padam sabitan kes rasuah & liwat, Utusan diperintah bayar kos

Anwar dibenar padam sabitan kes rasuah & liwat, Utusan diperintah bayar kos

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memadamkan sabitan kes rasuah dan liwatnya dalam pernyataan pembelaan Utusan Melayu (M) Bhd berhubung saman yang mengaitkan Anwar dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Hakim Datuk John Louis O’hara memutuskan bahawa penghakiman bagi kesalahan jenayah tidak boleh diguna pakai dalam prosiding kes sivil.

O’hara berkata Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 Mei 2015 yang membenarkan permohonan Anwar dalam kes saman fitnahnya terhadap Senator Datuk S. Nallakarupan supaya penghakiman kes liwat pada 1998 tidak diguna pakai dalam pernyataan pembelaan.

Beliau berkata barisan panel hakim ketika itu membuat keputusan tersebut berdasarkan Seksyen 43 Akta Keterangan yang menghalang sabitan jenayah lampau diguna pakai di dalam kes saman sivil.

O’hara memerintahkan Utusan Melayu selaku defendan membayar kos RM2,500 kepada Anwar yang merupakan plaintif.

Anwar, 69, memohon memadamkan beberapa perenggan berhubung sabitan kes rasuahnya pada 1999 dan kes liwat keduanya pada 2015 dalam pernyataan pembelaan Utusan Melayu.

Pada 15 Okt tahun lepas, Anwar memfailkan saman itu dengan menamakan bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail sebagai defendan pertama serta TV3 dan Utusan Melayu, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Anwar mendakwa Mazlan menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah yang disiarkan menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 selain mendakwa Mazlan menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Dia mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah itu dan mendakwa perkataan fitnah itu merupakan serius dan berniat jahat yang membawa maksud dia seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

COMMENTS

Wordpress (0)