Malaysia Dateline

Anwar diingatkan tentang Deklarasi Permatang Pauh

Profesor Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, mengingatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap ikrarnya sendiri sewaktu Deklarasi Permatang Pauh 20 tahun lalu, di mana ketika itu gerakan Reformasi dilancarkan.

Mohd Tajuddin berkata, beliau ingin mengingatkan Anwar tentang apa yang beliau faham mengenai pengorbanan.

Katanya, berkorban tetapi mengharapkan balasan dan hadiah, bukan lagi dianggap pengorbanan melainkan ianya adalah satu pelaburan.

“Sekarang, saya ingin mengingatkan Anwar bahawa tiada satu pun ikrar di dalam Deklarasi Permatang Pauh itu menjanjikan jawatan PM untuk satu nama. Itu adalah gerakan rakyat dan rakyat akan menentukannya.

“Saya faham pengorbanan bermaksud mengorbankan semua yang kita sayang tanpa mengharapkan hadiah peribadi. Bukankah begitu?

“Kerana jika kita menginginkan hadiah tertentu dan mengharapkan hadiah itu diberikan kepada kita, maka ia tidak lagi dapat disebut pengorbanan melainkan pelaburan,” katanya dalam satu tulisannya hari ini.

Mohd Tajuddin berkata, hanya dengan pelaburan, seseorang individu akan mengharapkan pulangan peribadi sama ada dari segi kekayaan atau kedudukan yang lebih baik.

Menurutnya, Mahathir adalah senjata bagi Pakatan Harapan seperti yang diperkatakan oleh para sarjana, rakan-rakan politik dan juga musuh mereka.

Beliau juga mengumpamakan Mahathir sebagai virus dengan berkata, “sama ada anda dijangkiti oleh virus atau anda yang menghantar virus ini sebagai senjata perang,”.

Disebabkan situasi itu katanya, Anwar dikatakan tidak mempunyai kredibiliti untuk bertindak sebagai senjata perang.

Justeru katanya, sama ada rakyat Malaysia menunggu selama tiga tahun atau tiga bulan, hasilnya akan tetap sama sekiranya Anwar tidak membuat ‘pengorbanan’ yang terakhir.

“Dalam Islam, umat Islam harus mempercayai Allah setelah berusaha dengan semua perbuatan.

“Anwar harus mendengar nasihat agamanya sendiri dan merenungkan apakah dia melaungkan reformasi untuk rakyat atau untuk dirinya sendiri.

“Rakyat Malaysia benar-benar muak dan jijik dengan kedua-dua pemimpin ini tetapi pada masa yang sama mereka memahami bahawa ini memerlukan azam terakhir untuk menghentikan penderitaan mereka dengan cepat,” ujarnya lagi.

—-