Malaysia Dateline

Anwar diseru perkukuh blok pembangkang, tolak kerjasama dengan kleptokrat

Lima pemimpin parti pembangkang menyeru agar Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sama sekali tidak bermuafakat dengan kleptokrat ketika menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menerusi kenyataan bersama, mereka menegaskan blok besar oposisi perlu diperteguh dalam menangani krisis tiga serangkai iaitu ekonomi, kesihatan dan politik.

“Mendepani cabaran berangkai ini, kami menyeru agar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengukuhkan blok besar pembangkang dan menolak sebarang kerjasama dengan kleptokrat.

“Sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak perlu dibina berdasarkan asas ini.

“Kita perlu menggembleng usaha dan menumpukan kekuatan bersama sebagai satu suara untuk mengangkat agenda rakyat demi kelangsungan hidup semua,” tegas kenyataan itu lagi.

Lima pemimpin itu ialah Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ketua Wira, Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman; Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Senator Liew Chin Tong; Pengasas bersama Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Baru Bian dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Walaupun kenyataan itu tidak menyebut kleptokrat yang dimaksudkan, dipercayai pihak tersebut ialah beberapa pemimpin Umno yang terkait dengan kes mahkamah atau juga digelar ‘kluster mahkamah’.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu menerusi temu bual bersama Mingguan Malaysia, 14 Mac lalu, mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara PKR dan Umno.

Bekas Timbalan Perdana Menteri era kerajaan BN itu memberitahu perbincangan awal tersebut melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

Walau bagaimanapun, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau tidak mengetahui wujud rundingan dan perbincangan tidak rasmi itu.