Malaysia Dateline

Anwar gesa kerajaan batalkan peruntukan besar JASA

Riuh di Dewan Rakyat apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz disindir berhubung Belanjawan 2021 yang memperuntukkan jumlah sebesar lebih RM80 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Kewangan seolah-olah menjadi mangsa ahli politik apabila secara terang-terangan meletakkan peruntukan sebesar itu di dalam belanjawan yang membuka ruang untuk dikritik.

Menurutnya, dalam situasi kerajaan meluahkan rasa simpati kepada petugas barisan hadapan, namun Menteri Kewangan lebih mengutamakan peruntukan untuk propaganda kotor.

“Menteri Kewangan jadi mangsa orang politik. Kerajaan cakap simpati pada frotliners, bagi duit RM300 kat nelayan, tapi untuk kroni politik, dia teruskan juga peruntukan besar untuk propaganda kotor.

“Saya minta Menteri Kewangan batalkan peruntukan tersebut. Menteri Kewangan kena jaga kredibiliti, jangan pakai masuk ikut tuntutan mereka,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Peruntukan untuk JASA merupakan antara yang terpanas dibangkitkan sejak awal pagi tadi dengan beberapa kali perkara tersebut dicelah oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Anwar juga menegaskan, jumlah yang diperuntukkan kepada JASA itu terlalu besar untuk diberikan dikala rakyat sedang susah.