Malaysia Dateline

Anwar gesa kerajaan tidak bantah permohonan kembalikan perkenan Diraja

Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kerajaan tidak mencabar permohonannya untuk mengembalikan keperluan mandatori mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum sesuatu rang undang-undang (RUU) menjadi akta.

Permohonan beliau telah difailkan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, Selasa lalu.

“Pengembalian keperluan mandatori perkenan diraja ini adalah untuk menjamin keseimbangan perlembagaan di antara pihak kerajaan yang dipilih dan institusi Raja-Raja Melayu yang kita warisi turun-temurun.

“Ia juga akan memelihara dan mempertahan peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan integriti institusi raja berperlembagaan.

“Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan pihak eksekutif tidak menyalahguna demokrasi dan kerangka perlembagaan negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jun tahun lalu, Majlis Raja-Raja telah menyatakan kebimbangan terhadap rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara, yang memberi kuasa darurat kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

Namun kerajaan BN memilih untuk tidak mengendahkan kebimbangan Majlis Raja-Raja ini dan terus mewartakan RUU tersebut tanpa perkenan Diraja.

Ketua umum Pakatan Harapan (PH) itu berkata, insiden seperti ini belum pernah terjadi dan menjadi bukti betapa perlunya perkenan Diraja dijadikan keperluan mandatori semula sebelum sesuatu rang undang-undang itu menjadi akta.

“Kerajaan BN seringkali berkata ia komited mempertahan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Oleh itu saya menggesa Datuk Seri Najib dan pihak kerajaan untuk mengarahkan para peguam kerajaan agar permohonan saya ini tidak dibantah di Mahkamah Persekutuan.

“Memandangkan kes ini bersifat kepentingan awam, saya menggesa agar pendengaran dapat diadakan secepat mungkin,” ujarnya.