Malaysia Dateline

Anwar gesa kerajaan tingkatkan usaha lindungi polis dari COVID-19

Anwar Ibrahim menggesa pihak bertanggungjawab untuk memastikan pegawai-pegawai polis, warden-warden penjara dilengkapi dengan perlindungan kesihatan dan keselamatan yang mencukupi bagi melindungi mereka dari ancaman wabak COVID-19.

Beliau percaya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab mesti tingkatkan usaha dalam memastikan perlindungan penuh dan munasabah diberikan kepada pasukan polis.

“Mereka tidak hanya mengawasi pintu-pintu masuk, malah bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negara.

“Mereka mesti dibekalkan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan gogal. Ini tidak hanya untuk melindungi mereka dari ancaman wabak, malah untuk rakan-rakan dan ahli keluarga juga, samada yang tua mahupun yang muda,” katanya.

Katanya, ketika meningkatnya permintaan di kala PKPB, ditambah pula dengan pengendalian wabak yang buruk di Sabah, dan juga kegagalan pengurusan di Kementerian Dalam Negeri dalam menyediakan sut PPE kepada pegawai yang bertugas telah meletakkan mereka dalam zon yang berisiko tinggi.

“Saya bersimpati dengan nasib dan keadaan mereka kini,” katanya.

Anwar berkata, semasa pertemuan bersama pegawai-pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau kecewa dengan tantangan yang dihadapi mereka tatkala musim wabak.

Menurut laporan dari portal The Malay Mail hari ini bertarikh 17 Oktober 2020, terdapat seramai 2688 pegawai telah dikuarantin akibat terdedah dengan wabak COVID-19.

“Ini adalah peringatan kepada semua kita bahawa polis juga adalah pasukan barisan hadapan.

“Di bawah hujan dan panas, pasukan polis terus terdedah dengan ancaman virus, meski dilengkapi dengan pelitup muka N-95 berjam-jam lamanya.

“Berdasarkan maklumbalas dari beberapa pegawai yang memberitahu saya secara tertutup, masalah tersebut jauh lebih parah dan membimbangkan,” ujar beliau.