Malaysia Dateline

Anwar gesa kerajaan usah beri muka pada sektor penyumbang kes Covid-19

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ini adalah masa untuk kerajaan melaksanakan penguatkuasaan yang ketat, dan bukannya memberi muka kepada sektor seperti kilang pembuatan untuk beroperasi lagi.

Ini kerana katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menjelaskan kepada wakil-wakil industri bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenalpasti sektor pembuatan sebagai sektor utama yang menyumbang kepada penularan wabak Covid-19.

Perkara itu diberitahu EUMalaysia Chamber of Commerce and Industry (EUROCHAM) menerusi suratnya yang memaklumkan kepada anggota industri bahawa kerajaan Malaysia berhasrat melakukan penutupan penuh selepas 4 Februari.

Justeru Anwar tertanya, mengapa syarikat-syarikat dan kilang-kilang masih dibenarkan beroperasi tanpa dikenakan hukuman.

“Kadar penularan yang tinggi dalam kalangan pekerja asing telah dikenalpasti sekurang-kurangnya empat bulan yang lalu dengan banyak aduan yang mendakwa berlakunya pelanggaran SOP di dorm pekerja asing.

“Kerajaan mempunyai masa yang cukup untuk pantau dan kuatkuasakan SOP, tapi itu tidak berlaku.

“Singapura telah melaksanakan ujian besar-besaran dalam kalangan pekerja asing di sana, manakala Malaysia masih acuh tak acuh dalam melaksanakannya.

“Padahal, ia langkah yang paling penting dan boleh dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini mendedahkan wujud peningkatan kluster membabitkan tempat kerja berjumlah 225 atau 64.3 peratus daripada 350 kluster baharu sejak 6 Januari sehingga 22 Januari lalu.

Menurut Dr Hisham, bagi tempoh itu, sejumlah 112,225 individu disaring dan 28,477 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster-kluster tersebut.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu mempersoal sikap kerajaan yang menganggap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berjaya mengurangkan penyebaran wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.

Tambah Anwar, tindakan kerajaan tidak menutup sektor yang mempunyai kadar jangkitan tertinggi, hanya akan melanjutkan tempoh PKP selain memberi impak pada jutaan rakyat Malaysia yang sedang memainkan peranan dalam membendung penularan wabak ini.

Beliau juga sekali lagi memetik surat EUROCHAM yang mengesahkan bahawa apa yang dirasakan oleh rakyat Malaysia, bahawa langkah dan tindakan kerajaan dalam menangani Covid-19 di negara ini cukup lemah dan ketinggalan.