Malaysia Dateline

Anwar gesa moratorium pinjaman kepada peniaga PKS dilanjut

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan arahan terbaharu bekerja dari rumah sebagai tidak masuk akal apabila pekerja bidang pengurusan dan penyeliaan masih perlu bekerja di pejabat.

Beliau berkata, perubahan pada saat akhir termasuk arahan melibatkan pekerja sektor awam dan sektor di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menambah kerumitan dan membazir masa semua pihak.

“Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut.

“Ia tidak membina keyakinan, sama ada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu menggesa agar kerajaan segera melanjutkan moratorium pinjaman kepada golongan peniaga dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ini kerana kata Ketua Pembangkang itu, Retail Group Malaysia (RGM) telah melaporkan bahawa kira-kira 51,000, iaitu 15 peratus dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang.

“Saya mengulangi gesaan saya agar kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi.

“Langkah ini sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut ini, yang dijangka akan berpanjangan.

“Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil, dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP,” katanya lagi.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, adalah tidak mengejutkan apabila kerajaan terus membisu apabila membabitkan golongan berpendapatan rendah, kerana yang lebih diutamakan adalah syarikat-syarikat mega yang dekat dengan pundak kuasa.