Malaysia Dateline

Anwar gesa penjelasan, bimbang wujud campur tangan kerajaan dalam Petronas

Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang jika wujud campur tangan kerajaan dalam syarikat minyak dan gas nasional, Petronas selepas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya meletakkan jawatan lebih awal dari tempoh kontrak yang sepatutnya berakhir pada April 2021.

Presiden PKR itu berkata, biarpun Petronas menyangkal laporan Reuters yang mendakwa peletakan jawatan tersebut berkait rapat dengan kerajaan negeri Sarawak, namun ia mengundang lebih banyak persoalan.

Katanya, rakyat jelas tertanya-tanya rencana sebenar disebalik peletakan jawatan tersebut yang perlu dijelaskan dan diperincikan tanpa lengah oleh pihak Petronas.

“Ketidakstabilan di Petronas telah memberi dampak yang negatif kepada ekonomi negara dan memberi kesan pada para pelabur antarabangsa.

“Gabungan pembangkang menuntut penjelasan menyeluruh dan tuntas terkait isu ini.

“Kegagalan Petronas untuk meleraikan persoalan-persoalan ini akan mengundang ketidakpercayaan yang akan mengeruhkan lagi keadaan semasa,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin meletak jawatan selepas lima tahun menerajui satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai dalam Fortune 500 itu.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, badan penarafan dunia S&P Global Ratings telah pun membuat penilaian semula unjuran Malaysia dan Petronas yang mendapati ianya berubah dari keadaan stabil ke negatif.

“Apa yang dibimbangi badan tersebut adalah mengenai campur tangan kerajaan dalam Petronas.

“Apakah ada campur tangan kerajaan?” soalnya ringkas.