Malaysia Dateline

Anwar gesa PM laksana strategi baharu ringankan beban rakyat

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan pendekatan baharu dalam membantu menangani belenggu ekonomi ditanggung rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Perdana Menteri perlu berbuat demikian ketika nisbah pendapatan isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada tahap yang sangat tinggi.

“Adalah sesuatu yang membimbangkan tatkala membaca unjuran positif yang dibuat Bank Negara terkait tinjauan fiskal tahun mendatang dalam keadaan kita akhiri tahun 2020 dengan nisbah pendapatan isi rumah kepada KDNK pada tahap yang sangat tinggi.

“Angka terkini adalah sebanyak 93.3%. Angka lama iaitu sebanyak 87.5% yang ditetapkan pada bulan Jun 2020 yang lalu juga sudah keterlaluan tinggi dan berada di tahap yang cukup memprihatinkan.

“Perdana Menteri mesti segera mengarahkan tim ekonominya untuk fikirkan strategi yang baru dalam meringankan beban rakyat saat ini, melebihi kepentingan kroni dan para cukong,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengakui berlaku peningkatan dalam jumlah rakyat Malaysia yang jatuh miskin kesan daripada pandemik Covid-19.

Jelasnya, masih ramai rakyat yang menanggung kesusahan walaupun kerajaan sudah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, khususnya semasa pandemik.

Sebahagian kumpulan M40 menjadi kumpulan berpendapatan rendah (B40) manakala mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebahagian besar hutang ditanggung rakyat adalah hutang pinjaman perumahan dan kenderaan manakala hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada di tahap yang merungsingkan.

“Rakyat tidak ada banyak pilihan dalam mendepani masalah ini. Situasi ini akan mengheret mereka untuk membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan mereka dalam beban hutang yang berpanjangan,” tegaskan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan kembali saranan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) agar negara membangun merencanakan dasar dan kebijakan baharu bagi menangani masalah kesenjangan.

“Kita tahu beban kewangan saat ini memberi dampak yang cukup parah pada warga yang miskin dan tersisih.

“Masalah hutang ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia akan tambah melambatkan fasa pemulihan ekonomi pada tahun ini. Malah, untuk beberapa tahun akan datang juga sekiranya kerajaan yang ada pada hari ini tidak berbuat apa-apa,” tambah Anwar lagi.