Malaysia Dateline

Anwar gesa semua pihak bertenang, berdoa

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak untuk bertenang dan berdoa supaya Malaysia kembali bangkit kuat dalam menghadapi masalah kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR itu dalam masa sama mengucapkan terima kasih atas khidmat Tan Sri Mahiddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk meletakkan jawatan hari ini disambut baik serta akan membuka ruang ke arah perubahan buat negara,” katanya menerusi kenyataan ringkas di Facebook petang ini.

Terdahulu, Mahiaddin menerusi perutusan khas membuat pengumuman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangannya berkenaan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 1 Mac 2020, Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Situasi terkini menyaksikan bilangan kerusi PN di Dewan Rakyat hanya 100 kerusi daripada keseluruhan 220 kerusi Parlimen.