Malaysia Dateline

Anwar hantar surat sokong KPN

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan surat bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah pasukan yang amat penting dalam mana-mana sistem masyarakat dan penanda aras keamanan dan kestabilan negara.

“Mutakhir ini berita mengenai Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan pasukan PDRM mendapat perhatian umum.

“Sehubungan itu, saya telah mengutus surat bagi menyatakan dukungan saya kepada beliau dalam usaha membanteras sebarang elemen jenayah di negara ini,”katanya.

Anwar juga bersetuju dengan penegasan yang dibuat beliau berkait integriti, kebebasan, kewibawaan dan keupayaan pasukan polis.

“Saya mendoakan agar beliau dapat melaksanakan amanah dan menempuhi cabaran getir saat ini dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Hamid Bador mendedahkan terdapat ‘geng kartel’ dalam PDRM yang cuba menjatuhkannya namun beliau tidak akan membenarkan PDRM digunakan mana-mana pihak.

Malah, pendedahannya terhadap cubaan kelompok kecil membabitkan pegawai muda itu dibuat supaya ia tidak menjadi barah dalam pasukan.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai jijik dan berbahaya selain perlu ditangani dengan pendedahan berani.