Rundingan PKR-Pas: Anwar hanya beri garis panduan, bukan arahan, tegas Rafizi

Penasihat umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberi garis panduan berhubung rundingan antara PKR dan Pas dan bukannya merestui usaha itu sehingga menjejaskan kepentingan Pakatan Harapan (PH).

Rundingan PKR-Pas: Anwar hanya beri garis panduan, bukan arahan, tegas Rafizi

Malah naib presiden PKR Rafizi Ramli menjelaskan, dalam isu rundingan kerusi dengan Pas, Anwar yang menjalani hukuman penjara mempunyai keterbatasan maklumat dan satu-satunya saluran maklumat adalah melalui para peguam beliau iaitu Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang diketahui pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan Pas untuk mengelak pertandingan 3 penjuru.
 
Sehubungan itu, katanya kenyataan Anwar semalam tidak boleh disalahertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat Pakatan Harapan demi memujuk Pas sehingga ke saat akhir penamaan calon.

Rafizi menjawab kritikan pelbagai pihak terhadap kenyataan Anwar yang dilihat sebagai merestui rundingan Pas-PKR yang diusahakan timbalan presiden parti itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dakwaan bahawa usaha itu direstui Anwar.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu rundingan kerusi di antara KEADILAN dengan Pas yang banyak membantu menjelaskan latar belakang persetujuan beliau mengenai rundingan tersebut (ketika isu ini timbul dua tahun lalu) dan pandangan mutakhir beliau setelah dua tahun perkara ini berlanjutan.

“Saya ada pilihan untuk tidak mengulas lanjut kenyataan tersebut, namun saya khuatir ia disalah erti sehingga menyebabkan Datuk Seri Anwar menjadi sasaran cemuhan rakyat apabila kenyataan itu ditafsirkan secara sekerat-sekerat sehingga ia keluar dari konteks sebenar.

“Sejak semalam, saya lihat ada pihak yang mendakwa kenyataan Datuk Seri Anwar itu menjadi bukti bahawa strategi berunding dengan Pas hingga ke saat akhir itu datangnya dari Datuk Seri Anwar sendiri. Ramai penyokong Keadilan (PKR) dan PH serta rakyat terbanyaknya yang kecewa, tidak kurang juga yang menyerang Datuk Seri Anwar,” ujar Rafizi dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Rafizi,  pandangan Anwar dalam sesuatu perkara ketika beliau terpenjara adalah berbentuk panduan umum yang memberi garisan jelas pertimbangan-pertimbangan yang mesti diambil kira dalam membuat keputusan.

Anwar, jelas Rafizi menyenaraikan sempadan-sempadan (parameters) supaya keputusan yang dibuat mengambil kira perkara-perkara penting yang ditetapkan oleh sempadan-sempadan itu.

Bagaimanapun tambah beliau, keputusan diserahkan untuk dibincangkan dan dimuktamadkan oleh pemimpin PKR dan Pakatan Harapan kerana Anwar mempunyai keterbatasan dari segi maklumat terkini yang diperolehi.  

{loadposition myposition}

“Dalam isu rundingan kerusi dengan Pas ini, keterbatasan maklumat itu lebih meruncing kerana satu-satunya saluran maklumat beliau yang paling kerap ialah melalui peguam-peguam Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N Surendren yang ketiga-tiganya adalah pendokong kepada cadangan bekerjasama dengan Pas untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru,” ujarnya.

Kenyataan Anwar semalam, ujar Rafizi mengulangi perkara-perkara prinsip yang telah ditegaskan sejak dua tahun lalu iaitu;

1. Segala bentuk kerjasama dengan Pas, kalau pun berlaku, mestilah dalam bentuk kerangka komitmen PKR dengan PH (dan bukannya atas dasar PKR bersendiri dengan Pas).

2. Segala bentuk kerjasama dengan Pas, kalau pun berlaku, mestilah dalam konteks strategi pilihanraya nasional (yang merangkumi semua parti di dalam PH dan semua kerusi di seluruh negara) dan bukannya terbatas kepada Selangor semata-mata.

3. Pendekatan PKR untuk tidak memusuhi Pas bagi tujuan berunding adalah bersyarat kepada kesediaan Pas untuk saling berunding; dan (penilaian sama ada Pas masih bersedia untuk berunding itu) tertakluk kepada penilaian pimpinan PKR dan PH dari semasa ke semasa.

4. Kebimbangan mengenai sikap Pas terhadap Umno dan kemungkinan kerjasama di antara dua parti itu adalah satu pertimbangan penting; dan Datuk Seri Anwar berpegang kepada penafian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini.

5. Tempoh masa rundingan yang lama yang tidak membuahkan hasil membawa risiko besar kepada persediaan menjelang PRU14.

“Kesemua perkara di atas adalah panduan-panduan yang telah digariskan oleh Datuk Seri Anwar sejak dua tahun lalu. Oleh sebab itulah, Keadilan (PKR) mengambil pendekatan untuk membidani penubuhan PH dan pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan dengan Pas selepas itu,” jelas Rafizi.

Beliau turut menyenaraikan perkembangan terkini yang membolehkan PKR membuat keputusan segera berpandukan garis prinsip yang ditetapkan Anwar iaitu:

i. Segala bentuk kerjasama dengan Pas mestilah dalam kerangka komitmen PKR dalam Pakatan Harapan – Majlis Presiden PH telah membuat keputusan muktamad menolak sebarang bentuk rundingan kerusi dengan Pas pada saat ini memandangkan ia akan melengah-lengahkan persediaan di peringkat PH jika pembahagian kerusi tidak dapat dimuktamadkan.

ii. Segala kerjasama dengan Pas mestilah melibatkan seluruh negara dan bukannya terbatas kepada Selangor sahaja – kenyataan pimpinan Pas secara berterusan mengesahkan parti itu akan bertanding di kesemua kerusinya semasa bersama Pakatan Rakyat di seluruh negara. Kenyataan terkini Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menegaskan rundingan hanya boleh berlaku jika kerusi-kerusi Pas tidak disentuh di seluruh negara. Ini menyebabkan mustahil boleh berlaku sebarang kerjasama kerana tidak ada ruang langsung untuk AMANAH dan PPBM bertanding, sedangkan dua parti rakan PH ini wajar diberi ruang sebaiknya untuk sama-sama membantu menjana kemenangan.

iii. Rundingan dengan Pas adalah bersyarat kepada kesediaan Pas untuk saling berunding dan tertakluk kepada penilaian pimpinan PKR dan PH dari semasa ke semasa – Sehingga hari ini, Pas terus berpendirian untuk tidak berunding dengan PKR atau PH. Malah, Pas Selangor yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor telah mengisytiharkan untuk bertanding di 42 kerusi Dun Selangor, termasuk Parlimen Gombak yang diwakili Datuk Seri Azmin Ali sendiri.  

iv.  Kebimbangan rakyat mengenai sikap Pas terhadap Umno. Sehingga kini, presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang belum menafikan perbincangannya secara berterusan dengan presiden Unmo Datuk Seri Najib Razak mengenai kemungkinan kerjasama Pas-Umno untuk merampas Selangor dalam PRU14 seperti laporan media baru-baru ini. Malah jika timbalan presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mampu mempengaruhi keputusan JK Pas Pusat, kenyataan beliau yang “berpuas hati dengan pelan rasionalisasi 1MDB” selepas mengadakan pertemuan dengan CEO 1MDB (Arul Kanda Abdullah) tidak membantu meredakan kebimbangan rakyat mengenai sikap Pas terhadap Umno.

v. Tempoh masa rundingan yang lama dengan tiada sebarang kemajuan apabila wakil PKR yang diberi tanggungjawab berunding dengan Pas iaitu naib presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin tidak mengemukakan laporan yang kukuh sedangkan PRU14 semakin dekat.

“Justeru, saya mengalu-alukan saranan Datuk Seri Anwar supaya segala keputusan perlu dimuktamadkan segera memandangkan PRU14 yang terlalu dekat.

“Sebab itu bagi saya, isu ini tidak lagi berbangkit dan kenyataan Datuk Seri Anwar semalam tidak boleh disalah ertikan sebagai persetujuan untuk terus menggantung rundingan kerusi di peringkat PH demi memujuk Pas sehingga ke saat akhir penamaan calon.

“Membawa isu rakyat adalah strategi yang lebih baik untuk memenangi undi penyokong Pas, bukannya rundingan dengan pimpinan yang secara jelas telah menemui jalan buntu,” tegas beliau.