Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan penyertaan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ke dalam keluarga besar blok pembangkang itu.
“Ia suatu khabar yang cukup menggembirakan dan bermakna tatkala PH sedang merangkul seberapa besar kekuatan kita dalam mengangkat denyut nadi rakyat berbilang kaum, termasuk kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam era yang sangat mencabar hari ini,” katanya dalam malam ini.
Mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini telah membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen PH.
Menurut Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemasukan UPKO itu akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu menyifatkan kekuatan semua pihak perlu dimanfaatkan dalam berdepan cabaran kesihatan dan ekonomi pada masa ini.
“Tantangan kesihatan dan ekonomi saat ini sangat besar, dan ia memerlukan kekuatan semua, dan dari pelbagai pihak.
“Saya hargai kebersamaan ini serta semoga kita dapat bersama merencana strategi yang ampuh dan rapi dalam menyediakan bangsa dan negara untuk fasa pasca Covid-19 kelak,” tambah Anwar lagi.