Perkongsian perbualan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawat dari Kanada, Justin Trudeau menerusi panggilan telefon semalam mengundang rasa bangga rakyat negara ini.
Rata-ratanya memuji kebolehan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkomunikasi dan menjawab secara spontan ditambah dengan ungkapan sangat mesra yang kerap diulang Trudeau sepanjang perbualan tersebut.
Malah, ada menyifatkan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu ibarat sebuah buku yang menarik untuk dibaca.
“Liku perjuangan yang dilalui DSAI bukanlah mudah. Negara luar memerhati apa yang berlaku di negara kita. Pengalaman beliau sangat mahal,” kata Lily Samsudin.
Ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 menerusi panggilan telefon oleh Trudeau itu juga diharap membuahkan hasil positif terhadap kemajuan ekonomi negara ini.
“Nada suara Perdana Menteri Kanada sangat gembira berbual dengan DSAI. Kerap ulang kata-kata yang sangat mesra.
“Mudahan ekonomi Malaysia mengukuh dan kehidupan rakyat semua harmoni,” ujar Hasbullah Mohamad.
Tidak kurang juga yang berpendapat ketokohan Anwar sebenarnya sama dengan pemimpin dunia tersohor.
“Anwar Ibrahim pemimpin dunia yang popular setanding dengan Nelson Mandela, Aung San Suu Kyi dan Mahatma Gandhi.
“Sebab itu, ramai yang ingin mengucapkan tahniah dan datang berjumpa. Kami bangga mempunyai Perdana Menteri bertaraf dunia,” tulis Muhammad Fairul Al Qasas pula.
Pagi semalam, Anwar telah menerima ucapan tahniah menerusi panggilan telefon daripada Trudeau atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
Anwar yang berkongsikan detik-detik perbualan itu antara lain turut membincangkan potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negera termasuk pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, serta hubungan sesama insan.