Malaysia Dateline

Anwar Ibrahim, langkah Meridien dan rasionalnya

Ura-ura mengenai perjumpaan Dato’ Anwar Ibrahim dan Yang Di-Pertuan Agung pada 13 Oktober ini menerima pelbagai ura-ura lain. DSAI mendakwa telahpun mempunyai “strong and convincing majority” (majoriti yang kukuh dan meyakinkan) dan memulakan Langkah Meridien dengan pengumuman mengenai pertemuan ini.

3 senario utama yang bakal kita saksikan:

1. YDPA memperakui sokongan terhadap Anwar. Anwar diterima sebagai PM-9.
2. YDPA menafikan Anwar punyai sokongan. Anwar dan PH kekal sebagai pembangkang dan fokus tertumpu kepada PRU-15.
3. YDPA, setelah menerima nasihat Perdana Menteri, boleh mengisytiharkan pembubaran Dewan Rakyat, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan  Setelah apa yang berlaku dan yang boleh dipelajari daripada peningkatan kes pasca PRN Sabah, opsyen ini mungkin dilihat sebagai pilihan yang tidak munasabah. Namun begitu, kebarangkalian itu masih ada dan wajar dipertimbangkan.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk membincangkan dan “menujum” apakah yang bakal berlaku pada Selasa (13 Oktober 2020). Sebaliknya, tulisan ini ingin mengupas mengapakah, disebalik pelbagai kritikan yang dilontarkan dan kecaman yang dikumakakan, langkah ini masih perlu diambil.

Sebelum itu, elok sekiranya jika saya lontarkan dua kerisauan utama yang dapat kita perhatikan beberapa hari selepas pengumuman Langkah Meridien ini.

Bagaimanakah nasib rakyat akibat pandemik yang telahpun dibuang kerja, hilang sumber pendapatan, mengalami kesempitan hidup ditambah pula dengan penarikan moratarium baru-baru ini? Di saat rakyat sedang bersusah payah meneruskan hidup, perebutan kuasa hanya akan mengganggu fokus terhadap kebajikan rakyat.

Siapakah “katak-katak” yang bakal diterima masuk untuk membentuk kerajaan selepas ini? Menurut Setiausaha Agung Pas, para ahli parlimen Pas dilaporkan tidak akan menyokong pembentukan kerajaan di bawah pimpinan DS Anwar Ibrahim. Maka, adakah pembentukan kerajaan ini datang daripada pemimpin Umno- mereka yang telahpun ditolak oleh rakyat Malaysia ketika PRU-14, ataupun para Ahli Parlimen Bersatu – mereka yang telahpun mengkhianati Pakatan Harapan dengan membentuk kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yasin? Malahan, apakah pula jaminan bahawa mereka yang telah mengkhianati mandat rakyar itu tidak akan mengulangi kesilapan yang sama?

Sejujurnya, saya juga terfikir akan perkara yang sama dan untuk berlaku lebih jujur, saya juga tidak mampu memikirkan jawapan yang terbaik bagi menjawab dua persoalan tersebut. Persoalan-persoalan tersebut sememangnya berasas (grounded) dan bermerit.

Malahan, saya berasa amat mual apabila membaca argumen kononnya keperluan mengangkat DS Anwar Ibrahim terletak kepada kejayaan beliau 10 tahun, 20 tahun yang lepas. Pada pendapat saya, kerelevanan seseorang individu itu haruslah disandarkan kepada kemaslahatan dan kepentingan semasa, bukanlah digantungkan kepada kapasitinya 10 tahun, 20 tahun yang lalu.

Meskipun kelayakan dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin negara sukar disanggah, pada pendapat saya, kelayakan dan kredibiliti tersebut tidak cukup untuk membenarkan beliau meneruskan Langkah Meridien ini dan mengelak daripada menunggu PRU-15. Dengan kata lain, Langkah Meridien ini meminta lebih daripada sentimen kelayakan beliau (demands more than just the sentiment of his credibility).

Persoalannya, atas justifikasi apakah yang sebaiknya Langkah Meridien ini boleh disandarkan dan mengapakah langkah ini perlu diambil sekarang dan menunggu PRU-15 hanya akan membuka ruang untuk lebih banyak masalah lain?

Persoalan itulah yang bermain di fikiran saya untuk beberapa hari ini sehinggalah saya mendapat secebis ilham daripada sebuah novel sastera (literature) tulisan Agatha Christie dalam karya beliau bertajuk The Mysterious Affair at Styles.

Dalam bab terakhir novel tersebut, Hercule Poirot, seorang detektif terkenal yang diminta untuk merungkaikan misteri kematian Mrs Ingltethorpe menghuraikan mengapa suaminya, Mr Inglethorpe memilih untuk memalsukan bukti ke atas dirinya sendiri supaya beliau dapat ditangkap oleh polis sedangkan beliau sememangnya membunuh isterinya!

Berikut merupakan penjelasan Poirot :

“Because, mon ami, it is the law of your country that a man once acquitted can never be tried again for the same offence. Aha! but it was clever—his idea! Assuredly, he is a man of method. See here, he knew that in his position he was bound to be suspected, so he conceived the exceedingly clever idea of preparing a lot of manufactured evidence against himself. He wished to be suspected. He wished to be arrested. He would then produce his irreproachable alibi—and, hey presto, he was safe for life!”

Cebisan dialog tersebut mengingatkan saya kepada sebuah prinsip undang-undang, yang juga terpakai di negara ini iaitu “double jeapordy”. Ianya turut termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan :

“a person who has been acquitted or convicted of an offence shall not be tried again for the same offence…” (“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama..)

Meskipun terdapat beberapa pengecualian seperti “quashing of earlier trial” (pembatalan oleh mahkamah lebih tinggi) dan juga proses dakwaan semula (re-trial) ymyang mengecualikan perlindungan “double jeopardy” ini, asas kepada perlindungan tersebut adalah supaya mereka yang dibebaskan sewajarnya dianggap bersih dan tidak boleh didakwa atas kesalahan yang sama.

Apakah perkaitan prinsip undang-undang ini dengan jawapan dengan persoalan tersebut?

Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana masa yang lama sehinggalah PRU-15 cukup untuk memanjangkan tempoh hayat untuk para perompak yang telah ditolak oleh rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018 membersihkan diri mereka daripada segala kes rasuah dan penyelewengan, dibebaskan pertuduhan dengan alasan yang tidak munasabah seperti mana yang kita telah saksikan dalam kes-kes seperti yang dikepilkan di awal penulisan. Lebih membahayakan, di bawah prinsip ‘double jeopardy’ ini jugalah, sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan semula Putrajaya pada PRU-15, perlindungan itu kekal menjadikan ia usaha yang lebih mustahil untuk dilaksanakan. Lebih mustahil jika Pakatan Harapan kalah di PRU-15.

Mungkin ada yang ingin katakan ini hanyalah sekadar teori dan kenyataan ini mampu merendahkan kredibiliti institusi kehakiman negara.

Jawapannya mudah. Ianya bukan sekadar teori apabila 46 pertuduhan terhadap Musa Aman digugurkan secara sekali gus dengan alasan yang cukup lemah ; kekurangan bukti pendakwaan. Ianya bukan sekadar teori apabila pelbagai bentuk usaha ; pemecatan ahli kabinet, pembunuhan timbalan pendakwa raya yang mempersoalkan kes 1MDB sebelum 9 Mei 2018 bagi mendiamkan seluruh negara dan menjadikan mereka yang memimpin negara -mereka yang sama yang menjadi kerajaan hari ini untuk kebal daripada undang-undang.

Di saat itu, semuanya akan bermula seperti dahulu kala. Malaysia Baru akan terkubur selamanya malah mungkin kita perlukan 60 tahun yang akan datang untuk menurkar semula rejim ini.

Iya, kita sekarang berada di waktu pandemik. Negara ini sudah menyaksikan pelbagai jenis manusia yang sanggup mengambil kesempatan memperoleh pangkat dan merebut “harta rampasan” ketika pandemik ini. Begitu juga dengan pelbagai siri layanan dua darjat beberapa bulan ini antara para bangsawan dan rakyat bawahan. Diharapkan, langkah ini mampu memberikan sinar harapan baharu kepada seluruh rakyat yang kekal tinggi berharap.