Malaysia Dateline

Anwar, isteri menghadap Agong petang ini

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka mengemukakan perkembangan mengenai cubaan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Sembah menghadap pada jam 2.30 petang ini, selepas mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata, agenda sembah menghadap sebelum ini sepatutnya sekadar membincangkan keadaan politik semasa dan hal ehwal negara.

“Sudah tentu, perkembangan politik semasa akan beliau bincangkan dengan baginda,” katanya kepada pemberita di kediaman Anwar di Segambut malam tadi.

Ditanya gerakan menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang, Farhash berkata PKR masih mendapat sokongan utuh daripada AMANAH dan DAP.

Terdahulu, Anwar keluar dari kediamannya jam 10.30 malam tadi untuk mengadakan mesyuarat khas bersama AMANAH dan DAP.

 

Pada masa ini, PKR mempunyai 50 kerusi Dewan Rakyat diikuti DAP (42), Bersatu (26) dan AMANAH (11).