Malaysia Dateline

Anwar janjikan kerajaan Pakatan Harapan yang ehsan dan rahmah

Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada satu pasukan yang komited terhadap agenda yang mengangkat budaya ehsan dan rahmah buat seluruh rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi perutusan khas beliau hari ini, Anwar berkata, apa yang diperlukan pada masa ini adalah sistem ekonomi yang membela nasib rakyat yang hanya boleh dicapai dengan sebuah kerajaan yang stabil.

Calon Perdana Menteri PH itu menegaskan bahawa sesebuah kerajaan akan menjadi stabil jika ia patuh pada Perlembagaan manakala pemimpinnya berkhidmat demi rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

“Ini termasuklah memelihara agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, penetapan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Sementara itu, hak setiap rakyat berbilang kaum akan terus dipelihara dan maruah mereka dihormati laksana sebuah keluarga.

“Sebuah kerajaan itu akan menjadi stabil jika pemimpinnya punyai akhlak, menolak rasuah dan menjunjung kedaulatan undang-undang,” kata Anwar dalam perutusan yang disiarkan di laman sosial rasminya, hari ini.

Pengerusi PH itu juga berkata, beliau tidak akan mengizinkan bertunasnya permusuhan dan kebencian sesama kaum jika PH mengambil alih kerajaan.

Sebaliknya, jelas Anwar, PH akan bekerjasama dengan semua bagi mencorak masa depan yang lebih baik untuk negara.

“PH menawarkan suatu formula kestabilan kerajaan kepada rakyat Malaysia yang akan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembalikan kegemilangan negara.

“Pemimpin kita telah membuktikan kejujuran dan integriti mereka. Menerusi khidmat mereka kepada rakyat, kita akan memulihkan keyakinan antara rakyat dengan kerajaan,” tambahnya lagi.

KLIK UNTUK IKUTI PERUTUSAN PENUH ANWAR