Anwar, jawatan PM dan pasca realiti

Oleh ARIF ATAN

Rasanya sudah puluhan kali isu peralihan kuasa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri (PM) kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibangkitkan.

Malah dalam laporan Berita Harian bertarikh 15 Mei, Anwar berkata perbincangannya dengan Dr Mahathir Mohamad berhubung peralihan kuasa PM, berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang masalah.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR itu, berkata soal mengenai tarikh peralihan kuasa dan hal lain yang berkaitan, biarlah dibincangkan oleh mereka berdua.

“Perdana Menteri sudah beri penjelasan, saya sambut baik. Soal tarikh dan sebagainya, biarlah beliau bincang dengan saya, saya tiada masalah,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anwar berkata, beliau sama sekali tiada masalah dengan proses berkenaan yang sedang berjalan dengan baik dan juga tiada masalah dengan peranan Dr Mahathir selepas penyerahan kuasa.

“Saya tidak ada masalah sama sekali kerana Dr Mahathir punya peranan pada masa sekarang dan beliau harus diberi ruang. Andai kata saya ambil alih (kepemimpinan) pun, peranan Dr Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita.

Rasanya ini adalah isu muktamad yang tidak perlu dibangkitkan lagi oleh penyokong Anwar dan pihak media.

Melalui laporan Malaysiakini, Anwar berkata “dalam perjumpaan mingguan dan peribadi saya dengan perdana menteri, saya berpuas hati. Saya tidak mempunyai sebarang keraguan bahawa peralihan akan berlaku.

“Beliau ikhlas dan perbincangan (antara kami) bukan sahaja berterus terang tetapi mesra.

“Setakat ini, yang penting bagi saya dan beliau, (pelan peralihan kuasa) ini telah selesai,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan majlis pimpinan pusat parti itu di ibu pejabat PKR.

Apa yang menjadi kebimbangan di sini bukannya realiti seperti dijelaskan Anwar tetapi pasca realitinya.

Perbincangan mengenai peralihan kuasa dan Anwar sebagai PM kelapan telah melampaui realiti memasuki relung pasca realiti dan apa yang menjadi tajuk perbincangan berkisar di sekitar desakan tarikh menjadi PM atau kesangsian mengenai dapatkah Anwar hendak menjadi PM, teori Datuk Seri Azmin Ali jadi PM (dicalarkan oleh video intim, tidak kira benar atau tidak) atau paling tidak dijangkakan ialah perancangan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi PM.

Perbincangan mengenai wacana atau tektual Anwar menjadi PM ini menuju ke sisi pasca realiti atau posrealiti.

Sehubungan itu, terdapat dua sisi wacana mengenai Anwar jadi PM. Pertama, Anwar jadi PM sebagai realiti yang sering disuara, dibangkit dan diungkapkan dari masa ke semasa.

Sisi kedua, wacana Anwar jadi PM sebagai suatu pengwajahan atau citra di dunia digital atau ruang siber (juga disebut dunia maya) atau pasca realiti.

Di satu pihak, wacana dan tektual ‘Anwar jadi PM’ sebagai realiti yang diperkatakan dan di pihak lain ada pengwajahan terhadap ‘Anwar jadi PM’.

Ketika realiti `Anwar jadi PM’ berjalan secara timbal balik atau mutual dengan pengwajahan atau citra Anwar jadi PM maka terbentuklah wacana yang sempurna mengenai Anwar jadi PM.

Maksudnya di sini antara realiti dan pengwajahan ia senada dan seirama, antara dunia realiti dan pengwajahan atau di relung maya ia adalah seiring.

Namun seandainya irama dan lagu tidak senada atau ketika pengwajahan wacana Anwar jadi PM tidak seiring atau serasi dengan realiti wacananya, maka terbentuklah wacana yang tidak sempurna.

Apabila ia menjadi tidak sempurna, citra dalam wacana ‘Anwar jadi PM’ itu terputus sama sekali dengan realiti wacana ‘Anwar jadi PM’ maka yang terbentuk ialah pasca realiti iaitu wacana yang melampaui realiti atau yang berlaku di tingkat citra dan terputus dari dunia realiti.

Seolah-olah wacana realiti ‘Anwar jadi PM’ di medan maya tidak begitu banyak berlaku. Sebaliknya wacana lain timbul seperti disebutkan di atas seperti kesangsian mengenai dapatkah Anwar hendak menjadi PM atau misalnya perancangan untuk Muhyiddin Yassin jadi PM.

Wacana ini semakin berkembang di media sosial, media atas talian, laman sesawang dan blog misalnya.

Jika wacana citra ‘Anwar jadi PM’ terputus dari realiti erti ia sudah melampaui realiti itu sendiri. Ia laju dari realiti menjadi wacana simulakrum.

Maksud simulakrum ia menjadi suatu pengwajahan tidak berealiti suatu likeness dan seperti dijelaskan ahli fikir pasca moden, Umberto Eco menjadi realiti hiper.
Ia akan menjadi suatu wacana pasca realiti yang mengerunkan.

Seperkara lagi dalam situasi simulakrum, jika realiti ‘Anwar tidak PM’ berlaku, pasca realiti dalam bentuk simulakrum akan menjadi lebih gerun, iaitu suatu realiti yang hadir di satu masa lepas, obsesi telah hilang serta berkubur dan apa yang hadir adalah replika, salinan dalam satu realiti melampau atau hiper.

Sebaliknya pula jika realiti terputus dari citra wacana ‘Anwar jadi PM’ maka ia sekadar angan-angan Mat Jenin, banyak perbicaraan di ruang maya oleh pengempur siber tetapi realitinya berlainan.

Realiti ‘Anwar jadi PM’ maksudnya perancangan, strategi dan segala usaha, contoh Anwar jadi Ahli Parlimen Port Dickson, berjumpa Dr Mahathir seminggu atau dua minggu sekali, perbincangan peralihan kuasa dan seumpamanya.

Seperkara lagi dalam wacana pasca realiti yang digiatkan untuk ‘Anwar jadi PM’, padahal perancangan lain di dunia realiti seperti permainan belakang yang tidak diketahui atau wujudnya deep state sebagai contoh.

Harus difahami kita hidup di dua dunia yang selari, satu dunia realiti dan satu dunia siber yang pasca realiti.

Dalam dunia pasca realiti yang melampaui realiti, representasi, makna, komuniti maya, media sosial dan seksualiti telah membawa manusia atau warga siber ke dalam sebuah panorama ekstrem.

Segala sesuatu akan berkembang, tumbuh, dan membiak tanpa kendali (semacam berita palsu, kemunculan video seks dan fitnah) serta dalam kecepatan tinggi sehingga melewati segala batas yang seharusnya tidak dilanggar.

 

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).