Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu deligasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh di luar lawatan rasminya ke Qatar.
Dalam pertemuan itu, Anwar menzahirkan penghargaan atas kesediaan kepimpinan Hamas untuk membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan tentunya wanita.
Penerimaan pemimpin berkenaan berhubung pelan damai dunia Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta dari kalangan masyarakat antarabangsa turut dihargai.
Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus komited memainkan peranan khususnya di peringkat antarabangsa untuk menghentikan serangan ke atas Rafah.
Ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza khususnya dari aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan akan terus digerakkan.
“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC dan masyarakat antarabangsa.
“Dalam masa sama, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Anwar turut mengambil peluang menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis, baru-baru ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan tiga anak lelaki Ismail bersama empat cucunya mati syahid di dalam serangan udara Israel di Gaza pada bulan April lalu.
Kesemua mangsa terkorban ketika menaiki kereta untuk melawat saudara-mara di kem pelarian Al-Shati terletak di utara Gaza, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu, Anwar memaklumkan dirinya turut menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan daripada deligasi berkenaan.
Ismail Haniyeh dalam pertemuan bersama Perdana Menteri di Doha, Qatar itu turut diiringi oleh bekas Ketua Biro Politik Hamas iaitu Khaled Mashal.
Terdahulu, Anwar tiba di Doha pada Isnin sempena lawatan sulung beliau ke negara Asia Barat itu di atas jemputan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani serta menghadiri Forum Ekonomi Qatar 2024.
Turut mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi tiga hari itu adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Baca juga: Isu gaji dan kebajikan jururawat, Menteri Kesihatan minta waktu, akan cari jalan penyelesaian