Malaysia Dateline

Anwar ke Bukit Aman esok

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil ke Bukit Aman esok untuk diambil keterangannya berhubung penyebaran senarai nama ahli Parlimen, yang didakwa menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata sebanyak 113 laporan polis dibuat ke atas ahli Parlimen Port Dickson berkaitan isu itu.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan lebih lanjut mengenai dakwaan yang tersebar di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar sepatutnya dipanggil memberi keterangan jam 11 pagi Isnin lalu, namun setiausaha sulitnya memaklumkan Ahli Parlimen Port Dickson itu hanya dapat hadir pada jam 9 pagi Selasa sebelum ditangguhkan polis.

Sebelum ini beberapa laporan polis dibuat susulan tersebar senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baharu.