Malaysia Dateline

Anwar keluar dari Istana Negara, soal kerajaan baru tidak berbangkit

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) keluar dari Istana Negara pada jam 11.54 pagi tadi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sempat berhenti seketika untuk menjawab soalan pemberita yang menunggu di luar pintu Istana Negara.

“Itu soal yang tidak berbangkit sekarang,” kata Anwar ketika ditanya sama ada akan berlaku pembentukan kerajaan baharu.

Beliau turut mengemukakan pandangan berhubung penamatan Proklamasi Darurat dalam sejam pertemuan dengan Seri Paduka Baginda.

Tegasnya, penerusan pelaksanaan Proklamasi Darurat tidak membantu mengurangkan jangkitan Covid-19, selain hanya membebankan rakyat khususnya golongan bawahan.

Dalam masa sama, Anwar memberitahu laporan dan dokumen sokongan turut dikemukakan kepada Al-Sultan Abdullah bagi pertimbangan baginda.

“Kita tengok semua langkah yang perlu dilakukan tidak memerlukan darurat.

“Kita merayu kepada Tuanku supaya menghalang penerusan ini sedaya upaya walaupun Tuanku tepat mengatakan jatuh kepada semangat Raja Berperlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Selain itu, turut dibangkitkan adalah mengenai pembukaan semula Parlimen dan keyakinan pelabur terhadap keadaan ekonomi negara.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri memaklumkan Seri Paduka Baginda
berlapang dada mendengar semua pandangan yang disuarakannya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang itu tiba di Istana Negara dengan menaiki kereta Jaguar berwarna hitam jam 10.30 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau merupakan pemimpin parti politik kedua menghadap Seri Paduka selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, laman rasmi Facebook Istana Negara memaklumkan baginda berkenan menerima menghadap Muhyiddin untuk mesyuarat Pra-Kabinet.

“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” kata pihak Istana Negara lagi.