Malaysia Dateline

Anwar kemuka 2 kertas kepada Agong, bendung Covid-19, bangunkan ekonomi

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan dua kertas cadangan kepada Yang Dipertuan Agong ketika beliau menghadap baginda kelmarin, iaitu stretegi membendung Covid-19 serta bagaimana membangunkan ekonomi pasca wabak.

Dalam satu siaran video menerusi facebooknya, Anwar berkata, kertas itu berdasarkan kertas kajian, usul dan cadangan yang dibincangkan beliau dan pasukannya serta Pakatan Harapan sebelum ini.

Antaranya kertas cadangan bagaimanan menanangani Covid-19 untuk jangkamasa panjang yang pernah diberikan oleh beliau kepada Jawatankuasa Khas Darurat sebelum ini.

“Keutamaan adalah ujian yang berpanjangan yang konsisten, tidak turun naik. Kalau turun, kita tak dapat kenalpasti jumlah sebenarnya.

“Vaksin harus mencukupi termasuk yang disuarakan oleh Tuanku Sultan Selangor.

“Ketiga langkah-langkah mengenalpasti kesan yang ditimpa oleh rakyat melalui langkah PKP, PKPD dan lain-lain,” kata Anwar dalam video yang disiarkan malam tadi itu.

Menurut Anwar, jika perkara di atas boleh dilaksanakan dengan baik, beliau membentangkan pula langkah kedua melalui kertas yang dibentangkan kepada baginda.

“Langkah kedua ini adalah exit strategi atau strategi keluar dari kemelut malapetaka Covid-19 yang menghimpit rakyat,” katanya.

Bagi beliau, dengan kerajaan yang lemah dan tidak sah, tidak legitimat dan mundar mandir ini, maka ekonomi tidak mungkin akan bangun.

“Kita telah kemukakan beberapa strategi umpamanya selain dari menghadapi Covid-19, juga bagaimana mahu memanafaatkan kewangan termasuk melalui pinjaman untuk mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Anwar berkata, beliau tidak bercadang untuk menjelaskan secara terperinci tetapi telah dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong hasil kajian pakar di pejabat ketua pembangkang dan diteliti oleh pimpinan Pakatan Harapan.

Presiden PKR itu juga memberitahu, beliau akan membuat siri perbincangan terbuka dengan pakar-pakar, media dan mana-mana pihak yang berminat mulai Isnin ini bagi membentangkan strategi bagi keluar dari pandemik Covid-19 ini.