Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai secara maya program ‘Selangor Berzikir Ratib Al-Haddad’ anjuran kerajaan negeri sebentar tadi.
Ketua Pembangkang berkenaan turut menyampaikan tazkirah dalam majlis yang bermula sejak pukul 9.15 malam.
Tausiyah utama pimpinan Ratib Al-Haddad ialah Tuan Guru Syeikh Haji Rosnan @ Muhammad Firdaus Al Qodiri dari Yayasan Al-Firdaus.
Program bersiaran langsung selama satu jam 10 minit itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Pimpinan PKR negeri.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) antara lain mengingatkan dalam setiap kesusahan ada nikmatnya.
“Semasa saya dipaksa beristirehat di ‘istana hinggap’ Sungai Buloh, di antara yang saya tekuni dan telaah dan amalkan adalah karya (ulama Nusantara) Syeikh Daud Abdullah Fathani,” ujarnya.
Beliau berkata, amalan bermunajat, berzikir dan solat sunat meningkatkan keupayaan manusia dari segi kerohanian.
“Kita dalam kesibukan dunia termasuk orang politik dan profesional, kadang-kadang bercakap soal derita dan kepayahan hingga terlupa merujuk zikrullah dan bertawakal kepada Allah,” kata Anwar.
Untuk rekod, himpunan Ratib Al-Haddad adalah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW bertujuan perlindungan diri serta memohon keampunan daripada Allah SWT.