Malaysia Dateline

Agong mahu politik baru yang harmoni, kata Anwar selepas tinggalkan istana

Sejurus selepas selesai menghadap, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan hasil perjumpaan pemimpin-pemimpin parti politik dengan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semua¬† dilihat mempunyai satu persefahaman iaitu menghentikan politik lama dalam negara ini.

“Kita akan jurus semula ke arah yang baru. Bukan hanya isu melantik perdana menteri baru.

“Lebih penting lagi seperti yang ditegaskan oleh Yang di-Pertuan Agong dan wakil Agong, adalah mewujudkan bentuk politik baru yang lebih aman dan harmoni,” katanya.

Presiden PKR itu yang hadir tengah hari tadi di Istana Negara mula beredar dari kawasan istana pada jam 4 petang dari Pintu Dua.

Ia diikuti beberapa pemimpin politik yang lain yang telah bertemu Yang di-Pertuan Agong secara serentak bermula 2 petang tadi.

Turut dilihat keluar, kenderaan membawa Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kesemua ketua-ketua parti politik bertemu Agong selama lebih kurang dua jam.

Pertemuan dilakukan susulan perletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pada semalam.