Anwar lancar PD Tuition 2.0 bagi manfaat pelajar di Port Dickson

Anwar lancar PD Tuition 2.0 bagi manfaat pelajar di Port Dickson

Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melancarkan program PD Tuition 2.0 yang bertujuan memberi kelas tuisyen secara percuma dalam talian kepada pelajar sekolah di Port Dickson.

Beliau berkata pelajar boleh mengakses PD Tuition 2.0 itu melalui laman sesawang PD Tuition.com.

“Kalau saya ada keupayaan dana saya akan perluaskan program tuisyen dalam talian percuma iaitu PD Tuition.com di seluruh Negeri Sembilan dan juga negara.

Oleh itu, anak-anak perlu ditekankan untuk menggunakan komputer selain saya juga berikhtiar memberi sumbangan komputer di setiap sekolah di Daerah Port Dickson ,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program PD Tuition 2.0.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Anwar berkata program itu adalah anjuran Majlis Guru Besar Daerah Port Dickson dengan kerjasama pejabat Parlimen Port Dickson dan mendapat sokongan Kementerian Pendidikan.

Katanya, program berkenaan merupakan inisiatif para ibu bapa, guru dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh dimanfaatkan oleh murid tahun satu sehingga pelajar tingkatan lima.

“Program ini sudah bermula dan ia merupakan projek perintis di Daerah Port Dickson. Saya berharap program ini dapat diperluaskan di seluruh negara pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA