Malaysia Dateline

Anwar lulus undi percaya, dapat sokongan majoriti sebagai PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam usul undi percaya yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Usul percaya itu dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ia dibahaskan oleh 12 Ahli Parlimen.

Usul percaya tersebut tidak dibuat melalui pengundian belah bahagi seperti pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya.

Sebaliknya usul diluluskan melalui undi suara majoriti dengan lebih suara yang menyokong.

Berdasarkan pengundian yang berlaku hari ini, dapat dilihat jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang.

Anwar, pada sidang pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu, menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar telah menyatakan bahawa usul undi percaya kepadanya adalah bertujuan membolehkan beliau memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Terdahulu, empat gabungan politik telah memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Anwar.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.