Anwar, Mahathir dan politik tarikh

Dua kenyataan yang dibuat oleh orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Malaysiakini iaitu Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pemuda PH, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman dan Khairuddin Abu Hassan memperlihatkan seolah-olah jawatan bakal Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan limbo atau yoyo.

Syed Sadiq mengatakan beliau adalah salah seorang anggota Majlis Presiden PH dan merupakan wakil tunggal Pemuda PH dalam badan itu, khususnya semasa perjanjian ditandatangani.

Tidak ada langsung garis masa “2 tahun” transisi peletakan jawatan dalam dokumen yang ditandatangani.

Khairuddin lebih keras lagi mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak layak memimpin negara dan mencadangkan akan berkempen untuk menghalang kebangkitan politik MP Port Dickson itu.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali yang mengkritik Dr Mahathir kerana tidak meletakkan komitmen terhadap pelan peralihan kuasa yang jelas dan mempertikaikan sekiranya pemimpin PH sudah tidak lagi mampu untuk membantah perdana menteri.
“Saya nak ingatkan puak-puak bangang dalam PKR agar jangan keterlaluan. Tolong jangan terlalu kurang ajar.

“Hakikatnya, Anwar Ibrahim tidak layak untuk memimpin bangsa, agama serta tanahair”, katanya. (Malaysiakini, 30 Ogos 2019).

Penetapan tarikh ini semakin lama semakin rumit dan menjadi politik tarikh. Apakah isunya yang menyebabkan peralihan kuasa susah sangat nak tetapkan tarikh?

Persoalannya yang berjanji itu apa kemudian sekarang berkata tidak layak pula.

Daripada kenyataan Syed Sadiq akan ada masanya apabila tarikh akan ditetapkan cuma janganlah mendesak kerana Dr Mahathir mempunyai agenda penting seperti isu hutang dalam negara dan seumpamanya serta isu antarabangsa seperti masalah Palestin, Rohinyas dan Khasmir yang memerlukan komitmen negara-negara Islam untuk diselesaikan.

Tetapi Khairudin menolak tegas sebarang tarikh peralihan kuasa ditetapkan seolah-olah Anwar jangan bermimpi hendak menjadi PM.

Khairudin berkata “Buat masa ini saya hanya ingin buat kenyataan ini secara umum. Tunggu masa ketika yang sesuai kemungkinan saya akan tampil untuk terangkan kepada keseluruhan rakyat Malaysia mengapa Anwar Ibrahim tidak boleh diberi ruang untuk memimpin ummah di tanahair kita.” Malaysia kini (30 Ogos 2019).

Penetapana tarikh menjadi perkara polemik dan permainan dalam peralihan kuasa yang diperkatakan. Ini yang dikataka politik tarikh iaitu politik atau siasah untuk tidak menetapkan tarikh, berkisar di sekitar jangka masa, memberikan seribu alasan untuk diselesaikan, bermain dengan janji yang kesemua dapat ditatapi melalui kenyataan- kenyataan di bawah. Tidaklah dipastikan apakah sebenarnya di sebalik politik tarikh?

Dalam MStar tarikh 26 Jun 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui sedia meletak jawatan jika wujud pergolakan yang sukar ditangani di antara dirinya dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

Dalam satu wawancara bersama Channel News Asia (CNA), Dr Mahathir tidak menolak kemungkinan berlakunya pergolakan di antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mungkin ada banyak percanggahan antara saya dan ramai orang, tetapi saya sentiasa dapat bertahan dan bekerja dengan orang yang menentang saya,” kata Tun Mahathir.

“Saya berada di sana selama 22 tahun, ada ramai orang menentang saya tetapi saya berjaya, jadi jika saya tidak dapat mengurus situasi itu, saya akan letak jawatan,” katanya.

Adalah pergolakan yang dimaksudkan ialah akan berulangnya pergeseran politik antara kedua pemimpin itu atau apabila komponen dalam PH iaitu Majlis Presiden tidak lagi mahukan beliau sebagai PM.

Tun Mahathir menafikan beliau akan memegang jawatannya itu selama tempoh tiga tahun sebelum menyerahkannya kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Sebaliknya, Tun Mahathir berkata tempoh tersebut adalah sebagai “membetulkan kerja.”

“Saya tak kata tiga tahun.. Tapi nak betulkan kerja,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis rumah terbuka Kumpulan Maju di South Lake Residence, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua atau tiga tahun, walaupun ada pihak mahu beliau kekal sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri berkata, sesiapa sahaja berhak memberi pendapat supaya beliau kekal menjadi Perdana Menteri, namun beliau tetap berpegang kepada janji.
“Saya telah berjanji akan letak jawatan bila saya dapati situasi negara berada dalam keadaan baik dan ia boleh diteruskan (oleh pengganti) selepas itu. (Malaysiakini 24 Jun 2019)

Dalam Berita Harian (1 Ogos 2019) beliau berkata “Mungkin dua atau tiga tahun (kekal sebagai Perdana Menteri),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa.

Dalam isu tiada jawatan kosong dalam kabinet, Tun Mahathir memberitahu tiada jawatan kosong di Kabinet untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim namun, hari ini beliau meredakan ketegangan dengan memberitahu akan mengotakan janjinya.
Tun Mahathir mengulangi janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, iaitu Anwar.

“Saya buat janji, saya berpegang kepada janji saya. Apabila saya letak jawatan kelak, tentunya Anwar akan naik sebagai Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan al-Bukhary di sini hari ini. (Sinar Harian, 30 Ogos, 2019)

Kenyataan mutakhir ialah ketika di New York di mana Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri Malaysia yang berusia 94 tahun itu berkuasa untuk kali kedua selepas kemenangan gabungan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum Mei 2018.
“Saya berjanji bahawa saya akan meletak jawatan sebelum pilihan raya akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada masa paling lama pun tiga tahun,” katanya dalam satu dialog yang diadakan di Majlis Hubungan Luar Negeri di sini Khamis. Utusan Malaysia (Utusan Malaysia 27 Sept 2019).

Dalam banyak kenyataan Dr Mahathir jangka masa yang ditetapkan ialah dua atau tiga tahun tetapi kenyatan baru-baru ini ialah seolah-olah menetapkan kepada tiga tahun maksudnya 2021 yang sudah mendekati pilihan raya. Rasa inilah yang membuatkan Syed Husin Ali mengkritik Dr Mahathir di atas kenyataan yang berubah-ubah dengan tiada pendirian tarikh tetap transisi sebenar.

Bahkan satu ketetapan telah dibuat oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepakat menggesa Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Pusat.

Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM). (Utusan Malaysia 7 Ogos).
Bagi mengendurkan ketegangan tarikh dan jangka masa peralihan kuasa Pengerusi Majlis Eksekutif Kelab Bunga Raya, Muzzammil Ismail berkata, Anwar dinilai layak untuk menjawat jawatan sebagai menteri kanan pada ketika ini berbanding melantik beliau sebagai Perdana Menteri serta-merta.

Kredibiliti dan kepakaran Anwar mampu menjawat jawatan berkenaan memandangkan beliau sebelum ini merupakan Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

“Tidak perlu lantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri serta-merta. Tidak perlu menambah defisit kepercayaan rakyat. Sebaliknya Tun Dr Mahathir Mohamad boleh berbesar hati melantik Anwar sebagai menteri kanan sehingga akhir penggal. (Sinar harian 1 Oktober 2019).

Tarikh menjadi bahan perdebatan, persoalan dan perjuangan yang tentunya memeritkan bagi mereka yang menanti apatah lagi yang ingin menyerahkan kuasa. Kekadang ketegangan itu datangnya dari penasihat dan pengikut yang tidak mahu kehilangan kuasa dan kepentingan dan mereka yang merasakan masanya sudah tiba untuk mereka mengambil alih.

Politik tarikh dalam strategi, permainan kata-kata yang berbolak balik dan tidak serius dalam peralihan kuasa. Apakah yang menyebabkan lidah Dr Mahathir kelu enggan menetapkan tarikh. Apakah jika menetapkan tarikh seperti yang disebutkan oleh tiga NGO di atas iaitu selewat-lewatnya sebelum 9 Mei 2021(yang bermakna mereka bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir) akan menyebabkan penasihat-penasihat Tun Mahathir akan kehilangan jawatan dan kepentingan?

Maka penasihat-penasihat Anwar akan mengambil alih jawatan stragetik di dalam kerajaan? Kuasa apabila dipegang agak liat untuk dilepaskan.
Atau adakah politik tarikh yang lain pula untuk pelantikan seorang tokoh politik tertentu sebagai Perdana Menteri?

Sehingga artikel ini ditulis, tiada komen daripada Anwar, para pemimpin PKR DAP dan Amanah mengenai kenyataan yang dibuat oleh Syed Husin, Syed Sadiq, dan Khairuddin.

*Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)