Malaysia Dateline

Anwar mahu ‘cantas’ siapa?

Dalam saat genting ketika calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Plus hangat diperkatakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsikan aktiviti berkebunnya hari ini.

Menekankan perkataan “cantas”, Presiden PKR itu turut berkongsikan lima gambar ketika beliau mencantas pohon buluh.

Ahli Parlimen Port Dickson yang berbaju lengan panjang serta mengenakan penutup kepala daripada sapu tangan berwarna putih itu dilihat dibantu oleh dua orang pemuda.

“Seperti kebiasaan, petang ini meneruskan aktiviti berkebun. Kita cantas dan betulkan apa yang patut supaya suasana lebih bersih dan tersusun,” kata Anwar.

Dalam tempoh sejam hantaran itu dimuatnaik di Facebook rasmi beliau, Anwar Ibrahim terdapat lebih 1,000 komentar dan lebih 200 perkongsian.

Rata-rata komentar berpendapat Anwar menggunakan bahasa kiasan termasuk kemungkinan membersihkan baki kem Azmin Ali di dalam PKR.

“Alhamdulillah, kalau boleh pencantasan puak kartel yg masih berbaki didalam keadilaan perlu disegerakan,” kata pengguna Facebook, Mahmood Alsagoff.

Hari ini Setiausaha Agung PKR dalam satu penjelasan berhubung langkah mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) menegaskan semua wakil parti komponen PH muktamad untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat 13 Jun itu, Mahathir masih mencalonkan dirinya sebagai PM dengan tempoh sekurang-kurangnya setahun.

Sebelum itu, kata Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH berkata, Mahathir dalam mesyuarat PH pada 9 Jun telah memohon agar dirinya diberi masa enam bulan sebagai Perdana Menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika membidas kenyataan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador menegaskan situasi politik pada masa ini berbeza untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

Semalam, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, PH yang pada masa ini memiliki sokongan 107 ahli Dewan Rakyat seperti dakwaan Anwar memerlukan sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen untuk membentuk semula kerajaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu mengingatkan penyokong PH agar tidak berbalah berhubung pilihan iaitu Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri manakala Anwar sebagai timbalan.

Kelmarin, penganalisis politik, Ahmad Lutfi Othman pula berpendapat Mahathir lebih sesuai menjadi Perdana Menteri sekiranya mempunyai cukup sokongan dalam kalangan ahli Parlimen.